Punca kematian pelajar ketika latihan ragbi masih disiasat

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar (kanan) / Foto fail BERNAMA

AYER KEROH, 25 Jun – Punca kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani latihan ragbi di sebuah sekolah di Melaka Tengah petang semalam, masih dalam siasatan polis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bedah siasat dijalankan pagi ini untuk mengenal pasti punca kematian.
  • Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.
  • Siapan awal mendapati mangsa, pelajar tingkatan dua, berada dalam keadaan sihat sebelum kejadian.
  • Mangsa rebah tiba-tiba ketika berehat semasa latihan ragbi, dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bedah siasat terhadap mangsa telah dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Beliau berkata, buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan penuh bedah siasat.

Menurut Datuk Dzulkhairi, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua itu berada dalam keadaan sihat sebelum kejadian.

“Ketika sedang berehat, mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital kira-kira jam 6 petang.Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika mendengar taklimat ragbi daripada jurulatih di sekolahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa sempat menyertai latihan sebelum berehat seketika dan tiba-tiba rebah.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.