
SPIELBERG, 25 Jun – Badan induk Formula One (F1) mengisytiharkan amaran haba bagi Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring hujung minggu ini, menjadikannya kali pertama musim ini langkah tersebut digunakan.
- Ramalan cuaca rasmi menunjukkan suhu melebihi 31 darjah Celsius sepanjang perlumbaan.
- Amaran mewajibkan pasukan memasang sistem penyejukan pemandu seperti jaket penyejuk cecair.
- Berat minimum kereta dinaikkan untuk menampung peralatan sistem penyejukan; pemandu boleh pilih tidak guna dengan penalti ballast.
Pengarah Perlumbaan, Rui Marques berkata ramalan cuaca rasmi menunjukkan suhu bakal melebihi 31 darjah Celsius (88 darjah Fahrenheit) sepanjang perlumbaan berlangsung.
Pengisytiharan amaran haba itu mewajibkan pasukan memasang sistem penyejukan pemandu seperti jaket penyejuk berisi cecair, namun penggunaannya tidak diwajibkan kepada pemandu yang boleh memilih untuk tidak menggunakannya dengan mengambil penalti tambahan berkaitan pemberat (ballast).
Dalam peraturan tersebut, berat minimum kereta turut dinaikkan bagi menampung peralatan sistem penyejukan berkenaan.
Amaran haba ini pertama kali diperkenalkan dalam peraturan F1 pada 2025, dengan GP Singapura pada Oktober tahun lalu menjadi perlumbaan pertama yang menggunakannya, diikuti GP Amerika Syarikat di Austin pada bulan yang sama.
Perlumbaan Ahad ini merupakan pusingan kelapan kejuaraan musim ini, dengan pemandu Mercedes berusia 19 tahun, Kimi Antonelli, kini mendahului kedudukan keseluruhan. – REUTERS