Tze Yong sah tinggalkan BAM

Aksi atlet pemain perseorangan Lelaki negara, Ng Tze Yong, pada Kejohanan Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil / foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama, berkuat kuasa 30 Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM dan Tze Yong setuju bahawa langkah menamatkan kerjasama adalah terbaik untuk membolehkan beliau meneruskan fasa seterusnya kerjaya profesionalnya.
  • Beliau menyumbang kepada pingat perak perseorangan dan emas berpasukan campuran Sukan Komanwel 2022 serta kejayaan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022.
  • Kariernya terjejas oleh kecederaan serius; termasuk kecederaan belakang 2024 dan ACL 2025 yang memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan panjang.

BAM dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara kedua-dua pihak yang bersetuju bahawa langkah berkenaan adalah yang terbaik bagi membolehkan Tze Yong meneruskan fasa seterusnya dalam karier profesionalnya.

Pemain berusia 26 tahun itu pernah menduduki ranking ke-14 pada November 2023, selain menjadi antara tonggak utama skuad kebangsaan.

Beliau membantu Malaysia meraih pingat perak acara perseorangan lelaki serta emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2022, selain menyumbang kepada kejayaan negara menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022.

Tze Yong turut membantu Malaysia meraih pingat gangsa dalam Piala Sudirman pada edisi 2021 dan 2023.

Bagaimanapun, kemajuan kariernya terjejas akibat beberapa siri kecederaan serius, termasuk kecederaan belakang pada 2024 serta kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada 2025 yang memerlukan pembedahan dan tempoh pemulihan panjang.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa pemain berkenaan serta perancangan masa depannya.

“Selepas perbincangan yang mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah jalan terbaik untuk Tze Yong pada tahap kariernya ketika ini. Kami mengucapkan terima kasih atas segala sumbangannya kepada badminton negara dan mendoakan kejayaannya pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Tze Yong berkata fokus utamanya ketika ini adalah untuk pulih sepenuhnya sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya dalam kariernya.

“Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik. Saya akan mengambil sedikit masa untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan sebelum kembali beraksi di gelanggang,” katanya.

Dengan perkembangan itu, Tze Yong menamatkan lebih sedekad perjalanan bersama BAM sejak menyertai program pembangunan kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.