Wimbledon kecewa pemain terus protes isu hadiah wang tunai

Logo Wimbledon digambarkan pada pemegang raket / foto REUTERS

LONDON, 25 Jun – Penganjur Wimbledon meluahkan rasa terkejut dan kecewa terhadap tindakan pemain-pemain utama yang berhasrat meneruskan protes berkaitan isu pembahagian hadiah wang tunai pada kejohanan berprestij itu tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • AELTC menaikkan hadiah wang 20% kepada £64.2 juta, namun jumlah itu masih rendah berbanding tuntutan pemain sekitar £70 juta.
  • Pemain menuntut bahagian lebih besar daripada hasil kejohanan, selari kadar pembahagian dalam Jelajah ATP dan WTA.
  • Beberapa pemain mengehadkan sidang media pra-kejohanan ke 15 minit di Terbuka Perancis, dengan ancaman boikot masa depan.
  • Wimbledon menjelaskan dana hadiah sekitar 15% hasil, melabur ratusan juta bagi fasiliti, dan mengagihkan 90% lebihan untuk tenis Britain.

Awal bulan ini, Kelab Tenis All England (AELTC) mengumumkan peningkatan 20 peratus tahun ke tahun bagi jumlah keseluruhan hadiah wang tunai kepada £64.2 juta, namun angka itu masih di bawah tuntutan pemain yang mahukan sekitar £70 juta.

Pemain-pemain terbabit dilaporkan menuntut bahagian lebih besar daripada hasil pendapatan kejohanan Grand Slam, selari dengan kadar yang diterima dalam kejohanan Jelajah ATP dan WTA.

Sebahagian daripada mereka turut melakukan protes di Terbuka Perancis dengan mengehadkan tempoh sidang media pra-kejohanan kepada 15 minit.

Dalam satu kenyataan, AELTC memaklumkan Wimbledon sentiasa meletakkan pemain sebagai keutamaan dalam setiap keputusan serta melabur secara signifikan setiap tahun bagi meningkatkan kemudahan mereka.

“Wimbledon meletakkan pemain sebagai teras kepada semua keputusan kami dan kami melabur secara besar setiap tahun kepada mereka.

“Ia termasuk pelaburan ratusan juta pound dalam penambahbaikan fasiliti pemain sebagai sebahagian daripada transformasi tiga tahun untuk mewujudkan persekitaran prestasi bertaraf dunia,” menurut kenyataan itu.

Wimbledon turut menjelaskan bahawa dana hadiah wang mereka yang memecah rekod itu bersamaan kira-kira 15 peratus daripada hasil kejohanan, manakala kumpulan pemain yang diwakili bekas Ketua Eksekutif WTA, Larry Scott, mahukan sekurang-kurangnya 16 peratus.

Pengerusi Wimbledon, Debbie Jevans, dilaporkan telah membincangkan isu tersebut bersama Larry Scott di Terbuka Perancis.

“Wimbledon berbeza daripada kejohanan lain kerana mengagihkan 90 peratus lebihan hasil kepada pembangunan tenis Britain.

“Penggunaan hasil untuk menentukan hadiah wang tidak masuk akal dan kami telah menyatakannya kepada Larry Scott.

“Pendapatan tidak mengambil kira pelaburan yang kami lakukan. Kami bukan organisasi berasasaskan keuntungan dan sangat berbeza daripada Masters 1000,” ” katanya ketika pengumuman hadiah wang bulan ini.

Di Paris, pemain nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka, dilaporkan memendekkan sidang media pra-kejohanan, manakala beberapa pemain lain termasuk Jannik Sinner dan Iga Swiatek turut mengehadkan tempoh interaksi media mereka.

Pemain juga dilaporkan mengancam untuk melakukan boikot pada masa hadapan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.