
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski.
- Pelantikan berdasarkan pengalaman luas, rekod cemerlang dan pemahaman mendalam tentang landskap bola sepak negara.
- Pernah kendalikan Harimau Malaya 2017 hingga 2021 dan bawa Malaysia naib juara Piala AFF 2018 serta bantu pembangunan skuad kebangsaan.
- Berpengalaman di peringkat domestik dan antarabangsa; berjaya bersama Kedah, kendalikan Selangor dan berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal kebangsaan.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian cemerlang serta pemahaman mendalam Tan Cheng Hoe terhadap landskap bola sepak negara.
Menurut badan induk bola sepak negara itu, pengalaman dan kepakaran jurulatih berusia 58 tahun berkenaan diyakini mampu menjadi aset penting dalam usaha memperkukuh prestasi skuad kebangsaan di pentas Asia dan antarabangsa.
Cheng Hoe bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan apabila beliau pernah membimbing Harimau Malaya dari Disember 2017 hingga Disember 2021.
Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berjaya membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018, selain memainkan peranan penting dalam pembangunan skuad kebangsaan.
Sebelum itu, beliau turut membantu Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika berkhidmat sebagai penolong jurulatih di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.
Di peringkat domestik, Cheng Hoe mencipta kejayaan bersama Kedah apabila membantu pasukan itu menjuarai Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.
Beliau turut pernah mengendalikan Selangor dari 2022 hingga 2024 sebelum meneruskan karier di Thailand bersama Police Tero FC.
Pada April tahun lalu, Cheng Hoe kembali menyertai FAM sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan sebelum diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya.
FAM berharap pelantikan itu mampu memberi suntikan baharu kepada skuad kebangsaan dalam menghadapi cabaran mendatang, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.