RTM World utamakan kredibiliti, pastikan maklumat sahih

Ketua Media Digital RTM World, Muhammad Haziq Zahid / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Jun – RTM World terus mengekalkan komitmennya dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan berintegriti sebagai teras utama dalam usaha memperluaskan capaian kandungannya ke peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kredibiliti maklumat diutamakan untuk memenuhi tanggungjawab penyiar awam dan memperoleh kepercayaan penonton.
  • Pendekatan turun ke lapangan, menemubual sumber serta memastikan setiap fakta tepat tanpa diubah demi tular.
  • Tidak mengutamakan kandungan semata-mata meraih perhatian; menekankan pengesahan fakta serta mempromosi budaya, sejarah dan kisah masyarakat Malaysia.

Ketua Media Digital RTM World, Muhammad Haziq Zahid berkata, kredibiliti maklumat menjadi keutamaan bagi memastikan setiap laporan yang diterbitkan memenuhi tanggungjawab sebagai penyiar awam serta mendapat kepercayaan penonton.

Menurut beliau, pendekatan turun ke lapangan untuk mendapatkan maklumat secara langsung merupakan antara prinsip utama yang diamalkan oleh RTM World dalam menghasilkan kandungan berita dan laporan.

“Kita perlu turun ke lapangan, bertemu serta menemu bual orang ramai. Kita kena ambil tahu dan setiap fakta yang disampaikan mestilah tepat serta tidak diubah. Jika sesuatu maklumat diubah semata-mata untuk menjadi tular, bagi saya itu bukan pendekatan RTM World.

Matlamat kami adalah memastikan maklumat yang tular ialah maklumat yang tepat. Sebab itu, pendekatan kami adalah turun ke lapangan, bertemu masyarakat dan mendapatkan maklumat secara langsung daripada sumber yang berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia, di sini, hari ini.

Muhammad Haziq berkata, dalam landskap media digital yang berkembang pesat, RTM World tidak akan mengutamakan kandungan yang bertujuan meraih perhatian semata-mata tanpa melalui proses pengesahan fakta yang teliti.

Katanya, penyebaran maklumat yang tepat dan bertanggungjawab amat penting dalam memastikan masyarakat menerima berita yang benar serta tidak terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan.

Pada masa sama, beliau berkata RTM World turut mengetengahkan keunikan budaya, sejarah dan kisah masyarakat Malaysia sebagai antara kekuatan kandungan yang mampu menarik perhatian penonton antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.