Satu penghormatan besar kembali kemudi skuad kebangsaan – Cheng Hoe

Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe / foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan pelantikan beliau untuk kembali mengemudi skuad kebangsaan sebagai satu penghormatan besar serta amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghargai kepercayaan FAM dan komited memastikan pasukan berada pada landasan terbaik menjelang kempen Piala AFF.
  • Cabaran utama ialah mengekalkan tahap kecergasan pemain kerana kebanyakan masih dalam tempoh rehat luar musim.
  • Berharap kelab-kelab tempatan bekerjasama melepaskan pemain utama untuk latihan pusat dan perlawanan persahabatan.
  • Pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan, latihan pusat bermula 15 Julai, berharap pemain melapor dalam keadaan terbaik.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan komitmennya untuk memastikan pasukan negara berada pada landasan terbaik menjelang kempen Piala AFF (Piala Hyundai).

“Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada saya. Saya berasa terharu dan penuh tanggungjawab untuk memastikan pasukan bola sepak kebangsaan berada pada landasan yang terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Cheng Hoe mengakui cabaran utama ketika ini adalah untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain, memandangkan kebanyakan mereka masih berada dalam tempoh rehat luar musim.

Beliau berharap kerjasama daripada kelab-kelab tempatan dapat membantu melancarkan proses persiapan skuad kebangsaan menjelang kejohanan berkenaan.

“Saya rasa semua sedia maklum keadaan semasa persiapan pasukan kebangsaan untuk Piala AFF kali ini, kerana rata-rata pemain sedang berada dalam tempoh rehat musim. Ia bukan mudah untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain, dan kita harap kelab-kelab dapat melepaskan pemain utama bagi menjalani latihan serta perlawanan persahabatan menjelang kempen ini,” jelasnya.

Menurut beliau, sasaran utama Harimau Malaya adalah untuk mengambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan bagi mendapatkan keputusan terbaik, seterusnya merealisasikan hasrat mara ke pusingan seterusnya.

Beliau turut menyeru penyokong agar terus memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan kerana ia menjadi pemangkin semangat kepada pemain dan barisan kejurulatihan.

Latihan pusat dijadualkan bermula 15 Julai ini, dan Cheng Hoe berharap semua pemain akan melaporkan diri dalam keadaan terbaik bagi memastikan Harimau Malaya mampu memulakan kempen Piala AFF dengan langkah kanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.