UPSI perlu jadi kompas pembuat dasar pendidikan negara

Ketua Setiausaha KPT Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berucap pada Majlis AKIRA 2025 di UPSI, Tanjong Malim

TANJONG MALIM, 8 Oktober – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) perlu memperkukuh peranannya sebagai kompas kepada pembuat dasar pendidikan negara menerusi penyelidikan berasaskan bukti serta kepakaran akademik yang mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepakaran penyelidik UPSI diperlukan untuk menyediakan bukti sahih keberkesanan dasar dan intervensi pendidikan.
  • Gunakan data bagi membuat keputusan; kongsi dapatan melalui ringkasan dasar dan panduan pelaksanaan yang ringkas serta tepat.
  • Perkenalkan inisiatif Big Ideas dan Research Sustainability Fund untuk memacu inovasi serta memastikan kesinambungan penyelidikan universiti.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata kepakaran penyelidik UPSI amat diperlukan bagi menyediakan bukti sahih mengenai keberkesanan sesuatu dasar atau intervensi pendidikan mengikut keperluan dan keadaan tertentu.

Beliau berkata kekuatan UPSI sebagai universiti yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang pendidikan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat berasaskan data.

“Saya merupakan pencinta data kerana data itu dapat membantu kita untuk membuat keputusan. Kongsikan dapatan melalui ringkasan dasar dan panduan pelaksanaan yang ringkas, tepat dan berasaskan bukti.

“Kalau kita gabungkan jiwa dan data, maka insya-Allah apa yang kita hendak sampaikan lebih jelas,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Akademia Bitara (AKIRA) 2025 sempena Hari Akademia Peringkat UPSI dan Perhimpunan Bulanan Edisi Oktober di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, semalam.

Perasmian Majlis AKIRA 2025 sempena Hari Akademia Peringkat UPSI dan Perhimpunan Bulanan Edisi Oktober di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI

Datuk Ts. Dr. Aminuddin berkata UPSI bukan sekadar sebuah universiti, sebaliknya mempunyai kedudukan penting dalam ekosistem pendidikan negara berikutan kepakaran serta sejarahnya dalam melahirkan pendidik dan pemimpin.

Dalam pada itu, beliau menggesa penerima AKIRA 2025 supaya menjadi teladan kepada pensyarah muda dan memastikan kecemerlangan akademik dapat diwarisi oleh generasi seterusnya.

“Warisi cara kalian menulis dan menerbitkan jurnal, cara kalian membimbing pelajar, cara kalian menghadapi cabaran dan cara untuk menterjemahkan apa yang dihasratkan oleh universiti. Jadilah guru kepada rakan sejawat kita,” katanya.

Pada majlis yang sama, Datuk Ts. Dr. Aminuddin turut melancarkan dua inisiatif strategik UPSI iaitu Big Ideas dan Research Sustainability Fund (RSF).

“Big Ideas berperanan sebagai pemangkin untuk menggilap dan mempamerkan idea inovasi warga universiti, manakala RSF menjadi sokongan kewangan bagi menjamin kesinambungan aktiviti penyelidikan melalui pengurusan dana dalaman yang lebih strategik dan terancang,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pencapaian universiti berkenaan membuktikan kekuatan warga akademia dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pengurusan.

“Pencapaian itu selari dengan usaha UPSI memperkukuh hubungan universiti dengan industri dan komuniti menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan makmal kecerdasan buatan (AI), hab industri serta program pemindahan ilmu kepada masyarakat sekitar,” katanya.

AKIRA merupakan majlis anugerah akademik berprestij UPSI yang menjadi wadah pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga akademia serta pencapaian pusat tanggungjawab (PTj) universiti.

Sebanyak 30 anugerah dipertandingkan pada AKIRA 2025, meliputi lapan Anugerah Kecemerlangan Akademia, lima Anugerah Khas Penyelidikan dan tujuh Anugerah Kebitaraan PTj, selain kategori-kategori anugerah lain yang mengiktiraf pencapaian warga universiti.

Bagi edisi kali ini, Anugerah Akademik Naib Canselor dianugerahkan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, manakala Anugerah Fakulti Terbaik dirangkul oleh Fakulti Sains Kemanusiaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.