Ujian matrik inisiatif ‘luar kotak’ nilai penguasaan murid

Ujian matrik membantu mengenal pasti tahap penguasaan sebenar murid/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pelaksanaan ujian matrik bagi murid darjah empat dan tingkatan tiga disifatkan sebagai satu inisiatif ‘luar kotak’ oleh Kerajaan MADANI dalam usaha menilai tahap penguasaan murid secara lebih berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ujian matrik darjah empat dan tingkatan tiga inisiatif 'luar kotak' menilai penguasaan sebenar murid untuk hala tuju akademik.
  • Fokus pada kefahaman bahasa, komunikasi, penaakulan matematik, dan asas sains untuk intervensi bersasar awal.
  • Berbeza dari PMR/PT3; menumpukan lima subjek utama bagi membina pemikiran kritikal dan kesedaran sivik.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham, berkata pendekatan tersebut membantu mengenal pasti tahap penguasaan sebenar murid, sekali gus menentukan hala tuju akademik mereka pada peringkat seterusnya.

Menurut beliau, aspek kefahaman bahasa, keupayaan komunikasi, penaakulan matematik termasuk penguasaan nombor dan kemahiran mengira, serta asas sains perlu dinilai lebih awal bagi membolehkan pelaksanaan intervensi bersasar.

“Penilaian di darjah empat ini merupakan langkah persediaan penting kepada guru, memandangkan murid hanya mempunyai tempoh kira-kira dua tahun sebelum melangkah ke alam sekolah menengah,” katanya.

Beliau menjelaskan, murid yang lemah boleh diperkasakan manakala murid yang telah menguasai kemahiran asas terus digilap bagi membuka peluang ke aliran atau institusi pendidikan yang bersesuaian.

Tambah beliau, bagi Matriks Pembelajaran Malaysia di peringkat tingkatan tiga pula, penilaian tersebut mampu memberi gambaran awal kepada murid mengenai kecenderungan dan minat akademik mereka.

“Ia khususnya dalam membantu murid mengenal pasti minat terhadap bidang sains, matematik atau sains sosial, sekali gus memudahkan pemilihan jurusan yang lebih tepat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan penilaian itu berbeza daripada sistem peperiksaan terdahulu seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), sebaliknya memberi penekanan kepada pembinaan asas kefahaman, pemikiran kritikal serta kesedaran sivik.

“Berbeza dengan PMR atau PT3 yang menilai banyak mata pelajaran, ujian matrik hanya menumpukan kepada lima subjek utama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri kota Media, di sini.