
KUALA PILAH, 11 Jun- Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz hari ini dimasyhurkan sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan dalam Istiadat Pengurniaan dan Perisytiharan Gelaran Pusaka di Istana Besar Seri Menanti, di sini.
- Pemasyhuran mengisi kekosongan gelaran Tunku Panglima Besar yang sebelum ini disandang Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
- Istiadat disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar mengikut adat dan tradisi, disaksikan Menteri Besar serta pembesar negeri.
- Tunku Zain, 44, berkelulusan MSc daripada London School of Economics; aktif dalam pendidikan, sosial dan korporat serta pengasas IDEAS.
Pemasyhuran itu disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat penuh adat dan tradisi di Balairong Seri.
Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Yang di-Pertuan Besar bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz diiringi lagu kebesaran negeri serta lafaz memohon perkenan oleh Orang Empat Istana sebelum Tunku Zain menghadap bagi menerima watikah pelantikan.
Istiadat berkenaan turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan pembesar negeri.
Tunku Zain Al-‘Abidin, 44, yang diputerakan pada 1982 menerima pendidikan di Sekolah Alice Smith, Marlborough College, United Kingdom dan London School of Economics and Political Science sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam bidang politik perbandingan.
Baginda kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN serta Felo Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dalam bidang sosial dan pendidikan, baginda merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta mengasaskan IDEAS Autism Centre dan IDEAS International Secondary School.
Baginda turut aktif dalam sektor korporat, pendidikan, seni serta pembangunan komuniti, selain pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP).