KUANTAN, 28 Oktober - Seramai 50 individu menerima darjah kebesaran dan pingat sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Mendahului senarai tujuh penerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato' Mohd Radzi Harun.
Diikuti Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Al-Haj Raja Tun Uda; Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra), Dato' Mad Zaidi Mohd Karli; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Wira Ir Roslan Ismail; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera kepada Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Pahang, Dato' Khairul Anuar Abdul Rahman.
Turut dianugerahkan adalah Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ kepada sembilan individu.
Antaranya Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh, Julia Ibrahim; Profesor Madya Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ruziah Shafie.
Dalam pada itu, 19 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Zainuddin Hamaluddin.
Selain itu, dua individu dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Ketiga Setia Ahmad Shah (SAP), dua individu dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Ketiga Setia Mahkota Pahang (SMP) dan 6 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Keempat Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP)
Sementara itu, seorang dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Keempat Ahli Mahkota Pahang (AMP) dan tiga individu dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC).