Serangan kapal kargo di Selat Hormuz ragut nyawa kelasi India

Foto fail AFP

MUSCAT, 24 September – Seorang kelasi India maut selepas sebuah kapal kargo diserang di Selat Hormuz pada Rabu, menurut pihak berkuasa Oman dan India.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan terhadap kapal Cape Dao kira-kira 2.5 batu nautika dari pantai Oman menyebabkan kebakaran di bilik enjin.
  • Tentera Laut Oman memindahkan 27 kelasi yang terselamat daripada kapal tersebut.
  • India mengecam serangan, menggesa pihak berperang kembali ke meja rundingan dan pulihkan pelayaran serta perdagangan tanpa halangan.
  • Ketegangan meningkat di Selat Hormuz selepas Iran dan AS saling melancarkan serangan serta sekatan terhadap kapal dan pelabuhan.

India turut mengecam serangan berterusan di laluan perkapalan penting berkenaan.

Sejak tercetusnya perang di Asia Barat, Iran berusaha mengawal laluan maritim penting bagi penghantaran minyak dan gas dari Teluk, termasuk dengan menyerang kapal yang didakwa gagal menyelaras pergerakan dengan pihak berkuasanya atau menyimpang daripada laluan ditetapkan.

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran serta melancarkan serangan ke atas kapal yang didakwa enggan mematuhi arahannya.

Pusat Keselamatan Maritim Oman dalam kenyataan memaklumkan kapal Cape Dao yang berdaftar di Antigua dan Barbuda diserang kira-kira 2.5 batu nautika dari pantai Oman.

Serangan itu menyebabkan kebakaran di bilik enjin dan mengorbankan seorang kelasi.

Seramai 27 kelasi berjaya dipindahkan oleh Tentera Laut Oman, menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar India mengecam serangan terhadap Cape Dao yang mengorbankan seorang warganegaranya, selain menggesa pihak yang berperang kembali ke meja rundingan.

“Serangan terhadap kapal komersial, kelasi dan infrastruktur awam di rantau ini mesti dihentikan, manakala pelayaran dan perdagangan bebas serta tanpa halangan melalui laluan perairan antarabangsa di rantau ini perlu dipulihkan segera,” menurut kementerian itu.

India merupakan antara negara penyumbang terbesar tenaga kelasi kepada sektor perkapalan dagang dunia, dengan beberapa rakyatnya terbunuh dalam serangan di Selat Hormuz sejak perang di Asia Barat tercetus.

Oman terletak bertentangan dengan Iran merentasi Selat Hormuz, dan kapal yang cuba mengelak sekatan Tehran kebelakangan ini menggunakan laluan yang menghampiri pantai Oman.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.