Selangor sasar 4,000 pengecas EV menjelang 2030

Sehingga kini, 1,090 unit stesen pengecas EV beroperasi di seluruh Selangor

SHAH ALAM, 27 April – Selangor menyasarkan pemasangan 4,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang tahun 2030 bagi merancakkan pembangunan ekosistem mobiliti mampan di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak Berkuasa Tempatan menjadikan pemasangan infrastruktur pengecas EV sebagai syarat dalam permohonan Kebenaran Merancang untuk pembangunan baharu.
  • Langkah selaras dengan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan yang disediakan oleh PLANMalaysia.
  • PBT juga mengenal pasti lokasi strategik di bawah seliaan masing-masing untuk cadangan pemasangan pengecas EV masa hadapan.
  • Kerajaan negeri melantik Worldwide Holdings Berhad sebagai agensi penyelaras kepada Charging Point Operator bagi pelaksanaan infrastruktur pengecasan EV.

Exco Moboliti Selangor, Ng Sze Han berkata, bagi menyokong usaha ini, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil inisiatif menjadikan pemasangan infrastruktur pengecas EV sebagai salah satu syarat dalam pembangunan baharu melalui permohonan Kebenaran Merancang.

Langkah ini selaras dengan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan (EVCB) yang disediakan oleh PLANMalaysia.

Pada masa yang sama, PBT turut mengenal pasti lokasi strategik bawah seliaan masing-masing bagi cadangan pemasangan pengecas EV pada masa hadapan.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri Selangor telah bersetuju melantik Worldwide Holdings Berhad (WHB) sebagai agensi penyelaras kepada Charging Point Operator (CPO) bagi pelaksanaan program infrastruktur pengecasan EV di Selangor.

Sehingga kini, sebanyak 1,090 unit stesen pengecas EV telah siap dan beroperasi di seluruh Selangor hasil semakan bersama PBT.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao mengenai stesen pengecasan EV pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Berhubung cadangan dasar “Hak untuk Mengecas”, perkara itu akan dipertimbangkan secara berperingkat dengan mengambil kira kerangka perundangan sedia ada, tahap kesediaan industri pembinaan serta keselarasan dengan dasar dan garis panduan di peringkat persekutuan dan negeri.