RPTM tawar pengalaman pembelajaran lebih luas rentas institusi negara

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim

PUTRAJAYA, 27 APRIL Program Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 menjadi pemangkin baharu dalam pelaksanaan agenda mobiliti pelajar di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM), khususnya dalam usaha pemerkasaan bahasa Melayu di peringkat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • RPTM memperluas mobiliti pelajar kepada pengalaman pembelajaran lebih luas merentas institusi dan negara.
  • Program menekankan pergerakan pelajar antara universiti, bukan sekadar pertukaran budaya; pelaksanaan bergantung kepada kerjasama institusi.
  • Isu pemindahan kredit antara pelajar tempatan dan universiti luar dibangkitkan dan perlu perhatian serius untuk kejayaan RPTM.
  • Program kem empat hari membawa pelajar China belajar Bahasa Melayu, termasuk sesi bahasa, wacana, lawatan akademik dan aktiviti kebudayaan kolaboratif.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, mobiliti pelajar dalam RPTM tidak terhad kepada pertukaran akademik semata-mata, sebaliknya, turut merangkumi pengalaman pembelajaran yang lebih luas merentas institusi dan negara.

“RPTM mengandungi elemen penting yang menekankan mobiliti pelajar, bukan sahaja terhad kepada pertukaran budaya, malah turut menggalakkan pergerakan pelajar antara universiti.

”Pelaksanaan ini bagaimanapun tertakluk kepada tahap kerjasama yang dicadangkan serta kesediaan institusi terlibat.

“Selain itu, isu peluang pemindahan kredit antara pelajar tempatan dan universiti di negara ini turut dibangkitkan. Perkara tersebut perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kejayaan pelaksanaan RPTM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Tambah Adam Adli, program julung kali itu menghimpunkan pelajar daripada 13 institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China yang mengikuti pengajian Bahasa Melayu.

Program selama empat hari tersebut bagi mendalami budaya, bahasa dan pengalaman masyarakat tempatan secara lebih dekat.

Sepanjang program berlangsung, para peserta akan mengikuti pelbagai pengisian, termasuk sesi interaksi bahasa, wacana ilmu, lawatan akademik dan aktiviti kebudayaan yang dirangka secara kolaboratif bersama rakan strategik.