Melaka mohon permit diesel pukal untuk nelayan

Foto: RTM

AYER KEROH, 27 April- Kerajaan Melaka memohon kerajaan pusat melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertimbangkan kebenaran pembelian diesel secara pukal bagi nelayan di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Purata nelayan Melaka guna diesel 30–45 liter sehari, melebihi had tanpa permit khas.
  • Kekurangan diesel menyukarkan nelayan turun ke laut secara konsisten dan berpotensi menjejaskan pendapatan mereka.
  • Melaka menghantar surat kepada KPDN memohon pertimbangan permit khas pukal; KPDN kini benarkan hanya 10 kategori tertentu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata purata penggunaan diesel dalam kalangan nelayan di Melaka adalah antara 30 hingga 45 liter sehari, sekali gus melebihi had ditetapkan bagi pembelian tanpa permit khas.

Katanya, keadaan itu menyukarkan nelayan untuk turun ke laut secara konsisten, selain berpotensi menjejaskan pendapatan mereka.

“Kita telah menghantar surat kepada KPDN bagi menyuarakan pandangan dan memohon supaya dasar ini dapat diteliti semula. Jika tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, kita berharap permit khas secara pukal dapat dipertimbangkan untuk nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini.

Semalam, media melaporkan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata hanya 10 kategori layak memohon Permit Khas bagi pembelian petrol dan diesel melebihi 20 liter setakat ini.

Antara kategori berkenaan termasuk pengendali forklift, pengangkutan air, penduduk kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, sektor pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan berskala kecil.