Selangor kurangkan sewa premis PBT 30 peratus mulai Julai

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Negeri di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini/ BERNAMA

SHAH ALAM, 19 Jun – Kerajaan Selangor mengumumkan pengurangan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus selama enam bulan bagi membantu 21,234 peniaga bagi menghadapi cabaran ekonomi susulan krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan bermula Julai hingga Disember 2026.
  • Skop melibatkan semua PBT negeri untuk membantu komuniti penjaja terus berniaga tanpa menaikkan harga makanan.
  • Pengurangan sewa diberikan secara automatik; peniaga tidak perlu mengemukakan permohonan.
  • Langkah ini sebahagian Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, melibatkan 15 inisiatif dan peruntukan RM209.26 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengurangan kadar sewa itu berkuat kuasa dari Julai hingga Disember tahun ini dan ia melibatkan semua PBT di negeri itu.

“Komuniti penjaja yang menyewa kedai dan gerai di premis PBT merupakan usahawan barisan hadapan yang menggerakkan ekonomi harian rakyat. Bagi membantu mereka terus berniaga tanpa perlu menaikkan harga makanan.

“Kerajaan Negeri akan memberikan pengurangan kadar sewa premis PBT sebanyak 30 peratus di semua PBT selama enam bulan, bermula Julai hingga Disember 2026.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 21,234 peniaga dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta yang disediakan Kerajaan Negeri. Pengurangan sewa tersebut akan diberikan secara automatik dan peniaga tidak perlu mengemukakan sebarang permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Pengurangan sewa premis PBT adalah antara 15 inisiatif yang diumumkan bawah Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM209.26 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.