
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur 2026 bagi membangunkan semula dan menambah baik kemudahan penjaja di 287 lokasi di ibu negara.
- Inisiatif memberi manfaat kepada lebih 11,000 peniaga dan penjaja kecil, memastikan operasi dalam persekitaran lebih selamat, tersusun dan kondusif.
- DBKL mesti mengambil kira suara penduduk, peniaga dan penyewa bangunan untuk penyelesaian tapak yang adil kepada semua pihak.
- Perombakan bukan untuk menghalau peniaga, sebaliknya membina semula 20 kiosk modular lebih selesa, kerja bermula 15 Jun dijangka siap sebelum Oktober.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata inisiatif berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 11,000 peniaga dan penjaja kecil bagi memastikan mereka dapat beroperasi dalam persekitaran lebih selamat, tersusun dan kondusif.
“Tahun ini, DBKL akan melaksanakan program ini di banyak lokasi. Dalam isu penempatan peniaga kecil, DBKL perlu mempertimbangkan pelbagai suara termasuk penduduk yang mahu kelancaran trafik, peniaga serta penyewa bangunan untuk menjalankan perniagaan.
“Kita kena bersikap adil kepada semua pihak kerana setiap mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai lokasi yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf kemudahan penjaja berhampiran UTC Sentul di sini hari ini.
Berhubung projek menaik taraf kemudahan penjaja di UTC Sentul yang tular di media sosial baru-baru ini, Hannah berkata beliau difahamkan DBKL telah menjalankan sesi libat urus dan melaksanakan konsep pembangunan semula selepas mengambil kira semua maklum balas diterima.
Beliau berkata kerja perombakan struktur sedia ada bukan bertujuan menghalau peniaga, sebaliknya untuk membina semula 20 unit kios modular baharu yang lebih selesa dengan kos RM1.6 juta yang bermula pada 15 Jun dengan jangkaan siap sebelum Oktober.