15 inisiatif lagi perkukuh daya tahan ekonomi Selangor – MB

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Negeri di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.

SHAH ALAM, 19 Jun – Kerajaan Selangor mengumumkan sebanyak 15 inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta menerusi Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi membantu rakyat, peniaga dan industri mendepani impak krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan program Selangor Advance SA500 dengan peruntukan RM100 juta bagi membantu aliran tunai syarikat dan kontraktor projek kerajaan negeri dan PBT.
  • Dana Pantas Usahawan bernilai RM20 juta menawarkan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada usahawan.
  • Kadar sewa premis PBT dikurangkan 30 peratus selama enam bulan mulai Julai hingga Disember 2026 memberi manfaat kepada lebih 21,000 peniaga.
  • Biasiswa Pendidikan Kita RM17 juta dan program Teraju IKTISASS RM20 juta fokus kepada kecerdasan buatan, automasi dan teknologi masa hadapan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif tersebut dirangka selepas meneliti kesan krisis bekalan global terhadap ekonomi negeri termasuk peningkatan kos operasi perniagaan dan kehilangan pekerjaan.

Tambah beliau, antara inisiatif yang dirangka adalah perluasan program ‘Selangor Advance SA500’ dengan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi membantu aliran tunai syarikat dan kontraktor yang terlibat dalam projek kerajaan negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Namun begitu, kejayaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor ini mustahil mencapai kejayaan tanpa sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat di negeri ini.

“Program dan inisiatif yang dicadang berpandukan data, analisa dan struktur ekonomi sebenar untuk memangkin kemakmuran negeri dan mengangkat darjat rakyat,” katanya.

Beliau mengumumkan kesemua inisiatif ketika membentangkan Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Kerajaan Selangor turut memperkenalkan inisiatif Dana Pantas Usahawan bernilai RM20 juta yang menawarkan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10 ribu kepada usahawan, serta kadar sewa premis PBT dikurangkan 30 peratus selama enam bulan mulai Julai hingga Disember 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 21,000 peniaga.

“Selain itu, pelbagai bantuan disediakan termasuk penstrukturan semula pinjaman usahawan Hijrah, program transisi kerjaya, bantuan agropreneur, moratorium Smart Sewa dan pinjaman perumahan penjawat
awam negeri,” ujar beliau.

Turut diumumkan Biasiswa Pendidikan Kita Selangor bernilai RM17 juta, serta program Teraju IKTISASS berjumlah RM20 juta yang
memberi fokus kepada bidang kecerdasan buatan, automasi dan teknologi
masa hadapan.

Keseluruhan peruntukan Fasa 1 dan Fasa 2 pakej berkenaan berjumlah RM355.06 juta sebagai usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dan melindungi kebajikan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.