
ALOR SETAR, 19 Jun – Kemajuan tanaman padi musim 1/2026 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah bagi aktiviti pratepuan mencapai 100 peratus, manakala, aktiviti penyediaan tanah mencatatkan 94.8 peratus, setakat 18 Jun 2026.
- Hujan rendah awal menunda penanaman; peningkatan hujan kini membantu mempercepat aktiviti penanaman.
- MADA terus komited memenuhi keperluan peladang melalui bekalan air, pemantauan lapangan, penyelenggaraan infrastruktur dan saliran.
- MADA memperkukuh penyaluran maklumat dan pengedaran input subsidi secara teratur kepada peladang.
- Takungan empangan MADA sekitar 41% keseluruhan; MADA menyeru penggunaan air berhemah dan kaedah penanaman sesuai.
MADA menerusi kenyataan memaklumkan bagi aktiviti penanaman, kemajuan kini mencapai 49.3 peratus daripada keseluruhan kawasan.
“Beberapa kelewatan aktiviti penanaman sebelum ini dipengaruhi oleh keadaan taburan hujan yang lebih rendah daripada jangkaan yang memberi cabaran kepada pengurusan bekalan air pengairan.
“Bagaimanapun, peningkatan turunan hujan ketika ini merupakan perkembangan yang positif dan telah dimanfaatkan sebaiknya oleh peladang untuk mempercepatkan aktiviti penanaman,” menurut kenyataan itu.
MADA katanya akan terus komited dalam memastikan keperluan peladang sepanjang musim 1/2026 dapat dipenuhi sebaik mungkin.
“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk penyediaan bekalan air pengairan mengikut keupayaan semasa, pemantauan berterusan di lapangan bagi mengenal pasti isu yang dihadapi peladang, pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan pengairan selain saliran bagi memastikan sistem sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan optimum,” kata MADA.
Sementara itu, MADA optimis memperkukuh penyaluran maklumat serta hebahan terkini kepada peladang dari semasa ke semasa, di samping memastikan pengedaran input subsidi dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Selain itu, setakat 18 Jun 2026, status takungan air di tiga empangan utama MADA mencatatkan sebanyak 507,027 ekar kaki bersamaan 41.46 peratus.
“Daripada jumlah tersebut, Empangan Pedu merekodkan takungan sebanyak 378,240 ekar kaki atau 43.23 peratus, diikuti Empangan Muda sebanyak 17,050 ekar kaki atau 13.64 peratus, dan Empangan Ahning sebanyak 111,737 ekar kaki atau 50.11 peratus,” menurut kenyataan sama.
Pihak MADA turut menyeru semua peladang supaya menggunakan sumber air sedia ada secara berhemah dan optimum bagi mengelakkan pembaziran, di samping mengamalkan kaedah penanaman yang bersesuaian dengan keadaan semasa di lapangan.