Lebih 3,300 penyewa, peminjam rumah Selangor nikmati moratorium tiga bulan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas DUN Selangor hari ini / BERNAMA

SHAH ALAM, 19 Jun– Lebih 3,300 penyewa dan peminjam rumah bawah skim Kerajaan Selangor bakal menikmati moratorium selama tiga bulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Moratorium sewaan tiga bulan bagi 1,012 penyewa Program Smart Sewa Selangor, bermula Oktober hingga Disember 2026, diselaraskan oleh LPHS.
  • Moratorium pembayaran balik pinjaman perumahan tiga bulan untuk penjawat awam negeri bermula Oktober hingga Disember 2026, peruntukan RM2.54 juta.
  • Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.22 juta untuk moratorium sewa; Fasa Dua pakej menyalurkan RM209.26 juta, jumlah Fasa Satu dan Dua RM355.06 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu dilaksana bagi membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Jelas beliau, bantuan itu melibatkan 1,012 penyewa Program Smart Sewa Selangor serta 2,333 penjawat awam negeri yang menerima pembiayaan menerusi Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri memahami keadaan yang kemungkinan dihadapi oleh para penyewa sekiranya kos sara hidup meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Oleh itu, kesemua 1,012 penyewa rumah akan ditawarkan moratorium sewaan rumah bermula pada Oktober 2026 untuk tempoh tiga bulan sehingga Disember 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Dua pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Menurut beliau, moratorium sewaan itu akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan permohonan penyewa, dengan peruntukan sebanyak RM2.22 juta.

Katanya, kadar sewa bulanan bawah Program Smart Sewa Selangor ketika ini adalah antara RM450 hingga RM1,300 dan akan dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

Selain itu, kerajaan negeri turut menawarkan moratorium pembayaran balik pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2026.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.54 juta.

Secara keseluruhan, kerajaan negeri menyalurkan RM209.26 juta bagi pelaksanaan Fasa Dua Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan peruntukan bagi Fasa Satu dan Fasa Dua pakej berkenaan mencecah RM355.06 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.