Sekolah bukan tempat untuk keganasan – Gobind

PETALING JAYA, 14 Oktober – Sekolah tidak seharusnya menjadi tempat menimbulkan insiden keganasan, sebaliknya perlu kekal sebagai tempat selamat bagi menjalani proses pembelajaran serta perkembangan diri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah mesti kekal sebagai tempat selamat untuk pembelajaran dan perkembangan pelajar.
  • Insiden keganasan di sekolah mengejutkan dan menyayat hati, memerlukan tindakan serius.
  • Berikan ruang penuh kepada polis untuk jalankan siasatan menyeluruh mengenal pasti punca.
  • Pejabat Ahli Parlimen sedia membantu dan memberi sokongan kepada keluarga mangsa.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata insiden melibatkan seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Selangor pagi tadi, merupakan kejadian mengejutkan dan menyayat hati.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Damansara meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, pejabat Ahli Parlimen Damansara bersedia membantu keluarga mangsa, dengan pasukannya telah diarah menghubungi dan menyalur bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang terbabit.

“Ucapan takziah turut dirakamkan kepada keluarga mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.