Pelan damai Gaza mesti buka jalan keamanan sebenar

KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Pelan damai terbaharu di Gaza tidak boleh dianggap sekadar “jeda antara peperangan”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan damai Gaza mesti lebih dari jeda; ia perlu membuka jalan kepada keamanan sebenar dan berkekalan.
  • Malaysia, bersama beberapa negara, sokong perjanjian Sharm El Sheikh tetapi dengan syarat jelas hak Palestin diakui.
  • Gencatan senjata wajib menjadi permulaan pembinaan semula Gaza, pemulihan maruah dan hak pulang rakyat Palestin.
  • Anwar gesa tindakan berani dunia menukar kemarahan moral kepada dasar tegas menuntut keadilan global.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia mesti membuka jalan ke arah keamanan yang sebenar dan berkekalan.

Jelas beliau, Malaysia bersama Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil menyokong perjanjian damai yang dicapai di Sharm El Sheikh, namun dengan syarat jelas.

“Tiada pelan damai menyeluruh. Tiada jaminan hak pulang rakyat Palestin serta tiada komitmen jelas untuk penubuhan negara Palestin merdeka.

Gencatan senjata mesti menjadi pintu kepada usaha membina semula Gaza, mengembalikan maruah rakyat Palestin serta mengiktiraf hak mereka untuk hidup bebas di tanah air sendiri,” katanya.

Beliau berucap dalam Persidangan Kuala Lumpur mengenai Tertib Antarabangsa Baharu yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025, di sini.

Tegas Datuk Seri Anwar, kekejaman Zionis di Gaza bukan hanya isu serantau, tetapi krisis keadilan global yang menuntut tindakan berani semua pihak.

“Pemimpin dunia mesti ubah kemarahan moral menjadi dasar yang tegas, dan rasa kemanusiaan menjadi tindakan berterusan,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyelar kepimpinan Benjamin Netanyahu yang tidak pernah menunjukkan kesungguhan mematuhi sebarang komitmen damai.

Malaysia setakat ini telah menyalurkan RM100 juta bantuan kemanusiaan, selain bekerjasama dengan Jepun serta beberapa negara Asia Timur dan Asia Barat untuk menggerakkan lebih banyak sokongan kepada rakyat Palestin.