Siri Op Tiris pacu lonjakan kes, rampas lebih RM260 juta

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam pada sidang media sempena dengan pencapaian penguatkuasaan Op Tiris 2025 sehingga Mac 2026. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 April – Operasi bersepadu membanteras penyelewengan barang kawalan menerusi Op Tiris menjadi pemacu utama peningkatan ketara kes penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan jumlah rampasan mencecah RM263.41 juta setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skop operasi diperluas kepada enam komoditi utama: diesel, RON95, LPG, gula, minyak masak dan tepung.
  • Siri Ops Tiris merekod 6,773 kes dengan 2,219 tangkapan, hampir 80 peratus suspek warga Malaysia.
  • Tumpuan penguatkuasaan di negeri sempadan; Sarawak catat kes diesel tertinggi; 151 stesen berisiko dipantau dan AI digunakan kesan lonjakan penggunaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata kejayaan itu hasil peluasan skop operasi kepada enam komoditi utama termasuk diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), gula, minyak masak dan tepung selain penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan menerusi pendekatan whole-of-government.

“Setakat ini, siri Op Tiris telah menghasilkan 6,773 kes dengan tangkapan 2,219 individu termasuk saksi, Orang Kena Tuduh (OKT) dengan hampir 80 peratus daripadanya warga Malaysia,” katanya pada sidang media sempena pencapaian penguatkuasaan Op Tiris 2025 sehingga Mac 2026 di sini hari ini.

Datuk Azman berkata bagi Op Tiris 4.0 yang bermula pada 16 Mac, sebanyak 377 kes direkodkan dengan tangkapan 107 individu dalam tempoh sebulan pertama pelaksanaan melibatkan rampasan hampir RM17 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kes berkaitan diesel mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 166 kes melibatkan rampasan 1.126 juta liter diesel manakala petrol merekodkan 78 kes dengan rampasan 31,931 liter dan 49 kes melibatkan LPG.

Datuk Azman berkata Sarawak mencatatkan jumlah kes tertinggi berkaitan diesel dengan 57 kes dalam tempoh sebulan diikuti Sabah, Kelantan dan Johor sekali gus menunjukkan tumpuan penguatkuasaan di negeri sempadan sebagai tindakan tepat.

Bermula 11 April, KPDN bersama-sama agensi penguatkuasaan lain termasuk polis telah menempatkan pegawai bagi memantau 151 stesen minyak dikenal pasti sebagai berisiko tinggi serta terletak di kawasan sempadan.

Langkah itu, menurut beliau penting dalam situasi geopolitik tidak menentu yang boleh mewujudkan jurang harga dan menjejaskan kecukupan bekalan sekali gus meningkatkan risiko aktiviti penyelewengan.

Dalam pada itu, Datuk Azman berkata penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan bagi memantau pola penggunaan bahan api dan mengenal pasti petunjuk awal aktiviti mencurigakan termasuk lonjakan luar biasa penggunaan fleet card atau bekalan di stesen minyak. – BERNAMA