
MIRI, 24 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah vesel tunda bersama tongkang selepas mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah di perairan Miri, petang semalam.
- Satu bungkusan kecil disyaki methamphetamine dan peralatan menghisap ditemui semasa pemeriksaan.
- Ujian saringan air kencing awal: semua lima kru positif dadah; tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Semua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan sah, satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
- Dua warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Myanmar ditahan dan diserahkan kepada penyiasat Maritim.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam kenyataan media berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira pukul 4.40 petang pada kedudukan 3.5 batu nautika barat Muara Sungai Miri hasil rondaan rutin.
Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan kecil disyaki dadah jenis methamphetamine serta peralatan menghisap dadah.
Ujian saringan awal air kencing mendapati semua lima kru positif dadah, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati semua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Dua warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Myanmar telah ditahan bersama vesel berkenaan seterusnya diiring ke pangkalan Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.