ACC 2025-2026: Selangor FC yakin bangkit dalam aksi timbal balik

Selangor mempamerkan aksi positif terutama pada babak kedua selain berjaya mencipta beberapa peluang jaringan berbahaya ketika berdepan antara pasukan terbaik Asia Tenggara itu, menurut Ketua Jurulatih Selangor FC Kim Pan Gon. Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 21 Mei – PETALING JAYA, 21 Mei – Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon optimis skuad Gergasi Merah mampu bangkit dalam aksi timbal balik final Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025-2026 meskipun tewas 0-1 kepada Buriram United pada perlawanan pertama, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih Kim Pan Gon optimis Selangor mampu bangkit walaupun tewas 0-1, menekankan masih ada 90 minit dalam perlawanan timbal balik.
  • Pasukan perlu kurangkan kesilapan sendiri dan perkemas aspek teknikal untuk persiapan lebih rapi menjelang aksi penentuan di Chang Arena.
  • Buriram raih kemenangan penting di tempat lawan, namun pengurus Mark Jackson akui keletihan dan jadual padat menjejaskan pemain.

Menurut beliau, Selangor mempamerkan aksi positif terutama pada babak kedua selain berjaya mencipta beberapa peluang jaringan berbahaya ketika berdepan antara pasukan terbaik Asia Tenggara itu.

Tambahnya, pasukan anak buahnya perlu mengurangkan kesilapan sendiri serta memperkemas beberapa aspek teknikal bagi memastikan persiapan lebih rapi menjelang aksi seterusnya.

“Bagi saya, babak kedua memang sangat baik. Para pemain telah menunjukkan prestasi yang hebat. Kami berjaya mengawal permainan ketika menentang Buriram, sebuah pasukan elit di Asia, antara lapan pasukan terbaik dan sangat berkualiti, namun kami masih mampu memberi saingan kepada mereka.

“Seperti yang saya katakan, masih ada 90 minit lagi dan apa sahaja boleh berlaku. Kami perlu kekal teguh, bermain dengan baik dan pulih dengan segera.

“Kami cuba memperbaiki dan mengumpulkan semula kekuatan pasukan. Kami mampu melakukan sesuatu.

“Saya terus memberi galakan kepada pemain, dan saya merasakan mereka semakin yakin serta memperoleh keyakinan diri,” katanya dalam sidang media selepas aksi perlawanan akhir pertama ACC 2025-2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

Pan Gon bagaimanapun berbangga dengan semangat juang dipamerkan para pemain dan percaya peluang Selangor FC untuk bangkit masih terbuka.

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Hugo Boumous dari Selangor FC menyifatkan pasukannya telah menunjukkan kemampuan sebenar apabila berjaya memberi saingan sengit kepada Buriram United sepanjang perlawanan.

Menurutnya, meskipun lawan lebih menguasai permainan pada babak pertama, Selangor berjaya memperbaiki corak permainan pada separuh masa kedua dengan mengawal perlawanan serta mencipta lebih banyak peluang.

“Saya fikir, seperti yang dinyatakan oleh jurulatih, perbezaan pada babak pertama ialah kami tidak benar-benar mengawal permainan berbanding mereka.

“Mereka lebih banyak menguasai bola serta memiliki penguasaan permainan yang lebih baik.

“Namun seperti yang saya katakan semalam, dalam perlawanan seperti ini menentang pasukan yang kuat.Kedua-dua pasukan memperoleh peluang, namun mereka berjaya memanfaatkannya untuk menjaringkan gol, sedangkan kami tidak berbuat demikian.

“Bagaimanapun, pada babak kedua kami menunjukkan bahawa kami mampu tampil lebih baik dan bersaing seimbang, malah dalam beberapa ketika kami dilihat lebih menguasai permainan berbanding mereka,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Buriram United, Mark Jackson menyifatkan kemenangan di tempat lawan dalam aksi pertama perlawanan akhir sebagai satu pencapaian penting, meskipun pasukannya berdepan jadual perlawanan yang padat serta keletihan pemain.

Menurut beliau, perlawanan berkenaan dijangka sengit sejak awal memandangkan kekuatan lawan serta cabaran fizikal yang dihadapi skuadnya sepanjang musim.

“Kami tahu ini perlawanan yang sangat sukar, tetapi saya sangat berpuas hati dengan komitmen pemain terutama pada separuh masa kedua. Mereka berjuang habis-habisan dan menunjukkan karakter yang sangat baik,” katanya.

Mark turut mengakui pasukannya mengalami sedikit keletihan pada babak kedua selepas mengharungi aksi berintensiti tinggi termasuk perlawanan 120 minit menentang Johor serta aksi separuh akhir Piala FA sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau memuji semangat juang dan kesepaduan pasukan yang tetap mampu bertahan sehingga tamat permainan.

Mengulas perlawanan kedua, Mark menjangkakan aksi berbeza dan lebih mencabar, namun optimis dengan tempoh rehat seminggu yang akan dimanfaatkan untuk pemulihan fizikal dan mental pemain.

“Perlawanan ini belum selesai. Kami masih dalam perjuangan dan akan bersedia menghadapi cabaran seterusnya,” jelasnya.

Selangor FC dijadual bertemu Buriram United dalam aksi timbal balik berlangsung di Stadium Chang Arena pada 27 Mei ini bagi menentukan juara ACC 2025-2026 musim ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.