Operasi Antipenipuan Rentas Negara: 7,553 individu disiasat

Foto FB Singapore Police Force

SINGAPURA, 21 Mei – Operasi Antipenipuan Rentas Negara melibatkan 10 bidang kuasa menyiasat 7,553 individu yang dikaitkan dengan lebih 138,000 kes penipuan membabitkan kerugian kira-kira AS$752 juta, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Frontier+ III dijalankan dari 10 Mac hingga 7 Mei dengan kerjasama agensi serantau termasuk Malaysia, Korea Selatan dan Kanada.
  • Operasi membawa kepada 3,018 tangkapan, hampir 102,000 akaun dibekukan dan lebih US$161 juta dana haram dirampas.
  • Di Singapura, ASC menahan lebih 130 individu dan menyiasat lebih 1,000 kes berkaitan lebih 3,000 penipuan, dengan kerugian melebihi S$69.3 juta.
  • Kerjasama dengan JSJK Johor melumpuhkan sindiket pengubahan wang haram; tiga ditahan, dirampas 83 telefon, 45 token bank dan sebuah komputer.

Operasi yang diberi nama Operation Frontier+ III itu dijalankan dari 10 Mac hingga 7 Mei dengan kerjasama agensi penguat kuasa dari Malaysia, Hong Kong, Korea Selatan, Maldives, Thailand, Indonesia, Macau, Brunei dan Kanada.

Dalam satu kenyataan, polis menjelaskan operasi itu membawa kepada penahanan 3,018 individu berusia antara 13 hingga 85 tahun, manakala hampir 102,000 akaun bank yang dikaitkan dengan penipuan dibekukan, sekali gus membolehkan lebih US$161 juta dana haram dirampas.

Di Singapura, Pusat Antipenipuan SPF (ASC) menahan lebih 130 individu dan menyiasat lebih 1,000 lagi yang dikaitkan dengan lebih 3,000 kes penipuan membabitkan kerugian melebihi S$69.3 juta (AS$54.1 juta).

“ASC membekukan 2,315 akaun bank dan merampas S$34.9 juta (AS$27.2 juta). Rangkaian Frontier+ terbukti berperanan penting dalam usaha pemulihan dana rentas sempadan seperti yang ditunjukkan menerusi empat kes berjaya sepanjang tempoh operasi,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Sementara itu, SPF memaklumkan kerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Polis Diraja Malaysia berjaya melumpuhkan satu sindiket pengubahan wang haram dengan penahanan tiga rakyat Malaysia di Johor Bahru.

“Perkongsian maklumat rapat antara MariBank dan ASC mengenal pasti sindiket berpangkalan di Malaysia itu sebagai dalang di sebalik beberapa akaun bank berkaitan penipuan.

“Bertindak atas risikan yang dibekalkan oleh ASC, JSJK Johor menyerbu premis sindiket itu pada 17 Mac 2026 dan merampas 83 telefon bimbit, 45 token bank serta sebuah komputer yang mengandungi perisian operasi sindiket,” menurut polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.