UEFA rancang format baharu kelayakan menjelang Piala Dunia 2030

Format baharu akan memastikan pasukan dengan ranking tertinggi dan terendah tidak bertemu terlalu awal dan secara teori mengelakkan terlalu banyak perlawanan berat sebelah dalam aksi kelayakan. Foto AFP

LONDON, 21 Mei – Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada Rabu mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan format kelayakan pasukan kebangsaan ala Liga Juara-Juara di Eropah menjelang Piala Dunia 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Format Swiss untuk kelayakan: 36 pasukan teratas dibahagikan kepada tiga kumpulan Liga A, setiap satu 12 pasukan.
  • Tiga juara kumpulan Liga A layak automatik; baki tempat ditentukan melalui playoff melibatkan pasukan dari kedua-dua liga.
  • Tuan rumah bersama Sepanyol dan Portugal layak automatik ke pusingan akhir tetapi masih menyertai pertandingan kelayakan untuk objektif Liga Negara.
  • Liga Negara-Negara diubah kepada tiga liga 18 pasukan dengan tiga kumpulan enam pasukan; suku akhir hingga final kekal seperti kini.

Sebanyak 36 negara dengan ranking tertinggi akan dibahagikan kepada tiga kumpulan masing-masing melibatkan 12 pasukan dalam Liga A dan akan diundi untuk menentang enam daripada pasukan itu, sama seperti “sistem Swiss” yang diperkenalkan dalam fasa liga baharu pertandingan kelab UEFA sejak permulaan musim 2024-25.

Liga B pula akan melibatkan tiga kumpulan dengan enam pasukan setiap satu, atau dua kumpulan masing-masing enam pasukan dan satu kumpulan tujuh pasukan bergantung kepada jumlah negara yang bertanding.

Butiran penuh mengenai cara kelayakan akan ditentukan masih diperincikan, namun UEFA mengesahkan bahawa tiga juara kumpulan dalam Liga A akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan Euro atau Piala Dunia, manakala baki tempat akan ditentukan menerusi sistem playoff membabitkan pasukan daripada kedua-dua liga.

Format itu akan memastikan pasukan dengan ranking tertinggi dan terendah tidak bertemu terlalu awal dan secara teori mengelakkan terlalu banyak perlawanan berat sebelah dalam aksi kelayakan.

Jawatankuasa eksekutif UEFA dijadual memberikan kelulusan penuh terhadap format baharu kelayakan Euro dan Piala Dunia itu pada mesyuarat September.

“Format baharu ini akan meningkatkan keseimbangan persaingan, mengurangkan jumlah perlawanan yang tidak memberi kesan, menawarkan pertandingan lebih menarik dan dinamik kepada peminat, di samping memastikan peluang kelayakan yang adil kepada semua pasukan tanpa menambah sebarang tarikh tambahan dalam kalendar antarabangsa.

“Secara keseluruhannya, perubahan ini akan meningkatkan nilai bola sepak pasukan kebangsaan lelaki UEFA dan kami amat menantikan pelaksanaan sistem pertandingan baharu ini,” menurut Presiden UEFA Aleksander Ceferin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak England Mark Bullingham, yang menganggotai jawatankuasa pertandingan pasukan kebangsaan UEFA, berkata pada November bahawa adalah penting untuk merombak format kelayakan sedia ada.

“Kami perlu terus mencari kaedah untuk menjadikan bola sepak antarabangsa lebih baik dan terdapat keinginan yang nyata untuk melakukannya,” katanya.

Di bawah cadangan itu, tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 Sepanyol dan Portugal akan layak secara automatik ke pusingan akhir, namun masih menyertai pertandingan kelayakan dengan objektif berkaitan Liga Negara-Negara UEFA.

UEFA juga berhasrat membuat perubahan terhadap format Liga Negara-Negara bermula edisi 2028-29. Berbanding empat liga ketika ini, UEFA merancang memperkenalkan tiga liga melibatkan 18 pasukan setiap satu.

Setiap liga akan terdiri daripada tiga kumpulan, dengan setiap kumpulan melibatkan enam pasukan yang akan menentang lima lawan.

Suku akhir, separuh akhir dan final sedia ada akan terus berlangsung seperti sekarang dalam jendela perlawanan antarabangsa Mac dan Jun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.