
KUALA LUMPUR 21 April – Malaysia kekal komited mencapai sasaran Sifar Bersih 2050, berbaki 35 tahun untuk merealisasikannya.
- Pemodenan grid nasional dan pembangunan sistem penyimpanan bateri untuk memastikan bekalan tenaga stabil serta berdaya tahan.
- Sasaran tenaga boleh baharu 35% menjelang 2030 dan 70% menjelang 2050, termasuk rancangan eksport lebihan tenaga ke negara jiran.
- PETRA menggubal pelan strategik 2026-2030 beri fokus enam teras: keselamatan tenaga, penyahkarbonan, daya tahan grid dan reformasi sektor.
- Perkenalan Akta Kecekapan Tenaga, Pelan Tindakan 2026-2035 dan pusat pengalaman ABB menyokong kecekapan, inovasi dan pengurangan pelepasan.
Kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada pemodenan grid nasional serta pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi memastikan bekalan tenaga kekal stabil dan berdaya tahan.
Malaysia juga menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu meningkat kepada 35 peratus menjelang 2030 dan 70 peratus menjelang 2050, termasuk usaha mengeksport lebihan tenaga ke negara jiran.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli, berkata walaupun kemajuan telah dicapai, masih banyak cabaran yang perlu diatasi termasuk keperluan memperkukuh dasar, teknologi serta kerjasama industri.
“Kita mempunyai kurang daripada 35 tahun untuk mencapai sasaran Sifar Bersih 2050 walaupun kemajuan telah dicapai, masih banyak yang perlu dilakukan.
“Melalui teknologi dan inovasi, kita yakin keselamatan tenaga dapat diperkukuh, pelepasan dapat dikurangkan dan negara mampu berkembang menjadi ekonomi rendah karbon yang makmur,” tegasnya dalam ucapan Pelancaran Pusat Pengalaman Pelanggan ABB Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, PETRA telah merangka pelan strategik lima tahun 2026 hingga 2030 yang memberi fokus kepada enam teras utama, antaranya keselamatan tenaga, penyahkarbonan, daya tahan grid dan reformasi struktur sektor tenaga.
Beliau berkata, penggunaan teknologi inovatif dan rangka kerja perundangan yang kukuh amat penting bagi memastikan peralihan tenaga dapat dilaksanakan secara berkesan, khususnya dalam sektor industri yang menyumbang kira-kira 50 peratus penggunaan tenaga negara.
Dalam masa sama, peningkatan permintaan tenaga dijangka berlaku susulan perkembangan pesat pusat data, industri semikonduktor serta kenderaan elektrik.
Kerajaan turut memperkenalkan Akta Kecekapan Tenaga dan Pemuliharaan bagi mengawal penggunaan tenaga industri selain membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Ekonomi Nasional 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035.
Pelan tersebut menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 60 peratus menjelang 2035 berbanding paras tahun 2005.
Sementara itu, Pelancaran Pusat Pengalaman Pelanggan ABB Malaysia dilihat sebagai langkah penting dalam mempamerkan teknologi praktikal yang mampu membantu industri tempatan meningkatkan kecekapan dan daya saing.
Pusat itu juga dijangka menjadi platform perkongsian ilmu dan inovasi dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara.