Mendapan di Jambatan Sungai Pulai: Kerja pembaikan kekal dijangka bermula Julai

Kerja pembaikan dianggarkan mengambil masa setahun/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 April – Kerja pembaikan kekal di beberapa lokasi mendapan di jajaran Jambatan Sungai Pulai, Pontian, Johor dijangka bermula pada Julai 2026, selepas proses pelantikan kontraktor dimuktamadkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Audit JKR Johor mendapati kadar mendapan melebihi had, memerlukan tindakan pembaikan menyeluruh.
  • Reka bentuk pembaikan baharu menggunakan sistem piling Transition Pile RC Slab oleh pemaju dan perunding kejuruteraan.
  • Pemaju mesti mengemukakan Pelan Pengurusan Trafik kepada JKR Johor untuk kelulusan sebelum pelaksanaan kerja.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, Surat Setuju Terima (SST) bagi pelantikan kontraktor dijangka dikeluarkan pada bulan berkenaan dengan tempoh pelaksanaan kerja pembaikan dianggarkan mengambil masa setahun.

Perkembangan itu dimaklumkan, susulan pemuktamadan reka bentuk baharu pembaikan menggunakan kaedah sistem piling (Transition Pile RC Slab) oleh pihak pemaju Seaport World Wide Sdn Bhd bersama-sama perunding kejuruteraan yang dilantik.

“Pihak pemaju kini perlu mengemukakan Pelan Pengurusan Trafik kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor untuk kelulusan, sebelum kerja pembaikan kekal dapat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Isu mendapan itu timbul hasil audit penerimaan jalan oleh JKR Johor pada Jun 2023 yang mendapati kadar mendapan jalan melebihi julat dibenarkan iaitu lebih 300mm, sekali gus memerlukan tindakan pembaikan menyeluruh.

Berikutan itu, beberapa pendekatan telah diteliti termasuk penggunaan sistem Extended Polystyrene (EPS), sebelum kaedah baharu dicadangkan berikutan kekangan kos.

“KKR akan terus memantau rapi pelaksanaan projek ini bagi memastikan setiap tindakan mematuhi piawaian teknikal serta mengutamakan keselamatan awam,” tambah kenyataan itu.

Jambatan Sungai Pulai menghubungkan kawasan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah dengan Tanjung Bin dibuka kepada pengguna sejak Januari 2023, sebagai sebahagian daripada pembangunan infrastruktur strategik di selatan Johor.