
SEREMBAN, 21 April – Polis menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kandungan yang boleh mencetuskan kekeliruan, keresahan awam atau menyentuh sensitiviti berkaitan agama, raja dan kaum (3R) berhubung isu semasa di Negeri Sembilan.
- Orang awam mesti bertanggungjawab terhadap kenyataan, ulasan dan perkongsian, sama ada secara fizikal atau di platform digital.
- Tindakan tegas akan dikenakan terhadap ugutan, provokasi, hasutan, fitnah dan penyebaran maklumat palsu yang melanggar undang-undang.
- PDRM mengutamakan keselamatan, ketenteraman awam serta melindungi nyawa dan harta, sambil menghormati adat Perpatih dan undang-undang negeri.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata orang awam perlu bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, ulasan atau perkongsian sama ada secara fizikal atau di platform digital.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang perbuatan berbentuk ugutan, provokasi, hasutan, fitnah serta penyebaran maklumat palsu yang menyalahi undang-undang.
Dalam masa sama, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal mengutamakan keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan negeri termasuk melindungi nyawa serta harta benda orang ramai.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya menghormati adat perpatih serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menjadi teras kedaulatan pemerintahan dan perpaduan negeri.
Katanya, PDRM tidak akan mencampuri urusan berkaitan agama dan adat resam yang termaktub di bawah undang-undang tersebut.
Sehubungan itu, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara serta menghormati proses yang sedang berlangsung.