
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Peluasan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi pembelian barangan basah disambut baik orang ramai kerana berpotensi membantu mengurangkan beban perbelanjaan keperluan harian.
- Inisiatif memberi manfaat kepada penerima, terutama golongan berpendapatan rendah menghadapi peningkatan kos sara hidup.
- Meningkatkan akses kepada barangan keperluan makanan dan membantu mengurus perbelanjaan isi rumah.
- Penerima boleh membeli barang basah dan kering dalam satu urusan, memudahkan penjimatan serta perancangan belanjawan.
- Kerajaan umum peluasan SARA ke pasar FAMA, serta SARA MADANI RM100 dua kali, manfaat hingga 13 juta rakyat termasuk M40.
Inisiatif itu dilihat memberi manfaat kepada penerima, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Tinjauan RTM di sekitar ibu negara mendapati, orang ramai menyifatkan ia mampu meningkatkan akses mendapatkan barangan keperluan makanan, sekali gus membantu mengurus perbelanjaan isi rumah.
Bagi Salawati Jaafar, kemudahan itu membolehkan penerima membeli barangan basah dan kering dalam sesuatu urusan, selain dapat membantu mereka mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemah.
“Jadi, sebagai contoh, jika kita menerima bantuan RM100, kita boleh terus menggunakannya untuk memenuhi keperluan harian.
“Bantuan ini memudahkan kita membeli barang basah dan barang kering sekali gus. Secara tidak langsung, kita dapat berjimat cermat serta merancang perbelanjaan dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Naasiha Nor Ahmad berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam menghadapi peningkatan harga barangan keperluan menjelang musim perayaan.
“Bagi saya, bantuan ini dapat menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan keluarga, terutama ketika musim perayaan.
“Paling saya hargai apabila kerajaan menyalurkan bantuan pada musim perayaan kerana ia dapat meringankan beban, khususnya apabila harga barang basah meningkat,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Nor Azura Mohamad yang menyifatkannya sebagai langkah bagi membantu rakyat mengurus perbelanjaan, terutama ketika keperluan kewangan meningkat pada musim perayaan.
“Ya, alhamdulillah, bantuan ini memang banyak meringankan beban kerana pelbagai keperluan memerlukan perbelanjaan lebih ketika musim perayaan. Begitu juga menjelang sambutan Hari Merdeka nanti, bantuan ini amat membantu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat memaklumkan peluasan penggunaan SARA kepada barangan basah dan segar yang boleh dibeli di 216 pasar tani atau pasar tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Turut diumumkan SARA MADANI RM 100 sebanyak dua kali pada tahun hadapan kepada semua warganegara Malaysia selain penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang berusia 18 tahun ke atas
Pemberian itu akan dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri dan menjelang ambang Tujuh Merdeka dengan memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40.