
BUKIT MERTAJAM, 10 Oktober – Belanjawan 2027 disifatkan sebagai belanjawan mesra Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) susulan peningkatan peruntukan paling tinggi dalam sejarah dari RM50 bilion kepada RM57 bilion.
- Belanjawan 2027 dijangka kurangkan kos perniagaan dan tingkatkan kecekapan pentadbiran, disambut baik oleh KUSKOP.
- Peruntukan utama termasuk RM5 bilion Dana Penstabilan PMKS, dana mikro RM6.6 bilion dan jaminan RM32 bilion dengan had siling dinaikkan kepada RM50 juta.
- Kerajaan perkenal potongan cukai PMKS sehingga dua peratus dan perlindungan tambahan melalui RUU e-dagang, sambil KUSKOP terus perkasakan perniagaan.
Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim berkata, peruntukan dana yang lebih besar dapat membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan di Malaysia, selain meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan secara keseluruhan.
“Lebih banyak dana untuk PMKS bermakna kos menjalankan perniagaan di Malaysia dapat dikurangkan, selain meningkatkan kecekapan. Oleh itu, saya menyambut baik belanjawan ini yang mesra PMKS dan melihat 2027 sebagai tahun penting untuk memperkukuh aset serta perniagaan rakyat Malaysia.
“Dengan sumber dan dana yang disediakan, KUSKOP akan meneruskan usaha mencapai misi untuk memperkasa perniagaan Malaysia,” katanya kepada media pada Program Madani Kita di Berapit, di sini.
Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuklah penambahan peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi Dana Penstabilan PMKS oleh Bank Negara
Malaysia, serta peningkatan dana mikro kredit kepada RM 6.6 bilion.
Selain itu, kemudahan dana jaminan menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC)
turut ditingkatkan kepada RM32 bilion, dengan had siling jaminan dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM50 juta.
Sementara itu, kerajaan turut memperkenalkan potongan kadar cukai PMKS sehingga dua peratus,selain perlindungan tambahan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang.