
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Malaysia masih menunggu maklum balas daripada Indonesia berhubung
tawaran bantuan untuk menghantar aset bagi membantu memadam kebakaran di negara itu.
- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil: setakat ini tiada maklum balas disampaikan kepada Jemaah Menteri oleh Wisma Putra atau NRES.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu jerebu kepada Presiden Prabowo Subianto melalui panggilan dalam talian.
- Malaysia menggesa Indonesia mengambil langkah sewajarnya menangani jerebu yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan rakyat.
- Kerajaan menawarkan segala bentuk bantuan dan kerjasama kepada Indonesia bagi mengurangkan situasi jerebu.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI , Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata setakat ini, belum ada sebarang maklum balas disampaikan kepada Jemaah Menteri oleh Wisma Putra atau Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Saya percaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam telah menyatakan bahawa kita telah berhubung dan beliau sendiri telah berhubung terus dengan Presiden Indonesia.
“Dan kita percaya hubungan baik antara kedua-dua negara ini akan memungkinkan beberapa tindakan susulan diambil.
“Tapi setakat ini belum ada apa-apa balas-balas yang telah disampaikan kepada Jemaah Menteri daripada Wisma Putra ataupun NRES. Jadi kita tunggu,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2026 di Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini.
Hadir sama, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Imri Mokhtar.
Khamis lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu jerebu kepada Presiden, Prabowo Subianto menerusi satu panggilan dalam talian.
Jelasnya, Malaysia menggesa Indonesia untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menangani situasi jerebu yang memberi kesan kepada kualiti udara negara sekali gus menjejaskan kesihatan rakyat.
Selain turut menawarkan segala bentuk bantuan dan kerjasama kepada republik itu bagi mengurangkan situasi jerebu.