
WASHINGTON, 26 April –Peguam Negara Amerika Syarikat bagi Daerah Columbia, Jeanine Pirro, memuat naik video di Facebook memaklumkan beliau telah dipindahkan keluar dari dewan utama Majlis Makan Malam Wartawan White House selepas terdengar bunyi seperti tembakan dilepaskan.
- Perkhidmatan Rahsia mengawal hotel dan kawasan acara selepas insiden.
- Presiden Trump dan isteri Melania dipindahkan selepas seorang lelaki bersenjata cuba menceroboh kawalan keselamatan.
- Suasana cemas; hadirin menjerit "tunduk", berlari dan berlindung di bawah meja, kira-kira 2,600 tetamu turut berlindung.
“Saya berada di Washington Hilton. Saya telah dibawa keluar dari dewan utama selepas terdengar bunyi tembakan dilepaskan. Perkhidmatan Rahsia kini mengawal bangunan ini, hotel ini.
“Saya baru bercakap dengan Datuk Bandar Muriel Bowser. Beliau dalam perjalanan ke sini, begitu juga Ketua Polis Sementara Jeffrey Carroll yang akan mengambil alih sebaik tiba,” katanya.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan isterinya Melania turut dipindahkan keluar dari majlis tersebut oleh ejen Perkhidmatan Rahsia selepas seorang lelaki bersenjata senapang patah cuba menceroboh kawalan keselamatan.
Sejurus selepas bunyi tembakan didengar, suasana dewan menjadi kecoh apabila para hadirin berhenti bercakap dan kedengaran jeritan ‘tunduk’ sebelum ramai berlari mencari perlindungan di bawah meja.
Kira-kira 2,600 tetamu yang hadir turut berlindung, manakala petugas hotel dilaporkan beredar dari dewan makan dengan segera. – REUTERS