Iran bentang rangka kerja hentikan konflik

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif (kiri), menyambut ketibaan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi (kanan kedua), sebelum pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri di Islamabad./foto AFP

ISTANBUL, 26 April – Iran telah mengemukakan rangka kerja yang boleh dilaksanakan kepada Pakistan yang bertujuan menamatkan perang secara kekal, kata Menteri Luar Abbas Araghchi pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan tertumpu kepada usaha memulihkan kestabilan rantau dan menamatkan konflik.
  • Araghchi memuji peranan Pakistan memudahkan dialog dan usaha persaudaraan untuk membawa keamanan kembali.
  • Rundingan damai AS-Iran dihidupkan semula di Islamabad; pusingan pertama dua minggu lalu gagal mencapai kata putus.

Dalam catatan di X, selepas lawatan ke Pakistan, Araghchi berkata perbincangan tertumpu pada usaha memulihkan kestabilan di rantau itu dan menamatkan konflik.

“Kami berkongsi pendirian Iran mengenai rangka kerja yang boleh dilaksanakan untuk menamatkan perang ke atas Iran secara kekal,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Araghchi menyifatkan lawatan (ke Pakistan) itu sebagai sangat membuahkan hasil, memuji peranan Pakistan dalam memudahkan dialog dan usaha persaudaraan untuk membantu membawa keamanan kembali ke rantau ini.

Pakistan telah bertindak sebagai perantara antara Tehran dan Washington di tengah-tengah ketegangan yang berterusan berikutan peningkatan ketenteraan baru-baru ini.

Araghchi tiba di Pakistan lewat Jumaat dan bertemu Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di Islamabad pada Sabtu, dalam usaha menghidupkan semula rundingan damai antara AS dan Iran untuk menamatkan perang lapan minggu.

Beliau juga akan pergi ke Muscat dan Moscow.

Pusingan pertama rundingan damai diadakan di Islamabad dua minggu lepas namun gagal mencapai kata putus untuk menamatkan konflik yang bermula pada 28 Februari. – BERNAMA