
WASHINGTON, 25 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan suspek yang terlibat insiden tembakan pada majlis makan malam dihadirinya pada Sabtu telah ditahan.
- Keadaan berjaya dikawal dengan pantas selepas tindakan segera pasukan keselamatan.
- Trump mencadangkan acara di Washington Hilton diteruskan, namun tindakan penuh tertakluk kepada penilaian pihak berkuasa.
- Beberapa letupan kuat kedengaran semasa majlis, mencetuskan panik dalam kalangan hadirin.
- Pegawai Perkhidmatan Rahsia membawa Trump dan Melania keluar; pegawai kanan lain disahkan selamat dan kawalan keselamatan dipertingkat.
Dalam satu kenyataan, Trump berkata keadaan berjaya dikawal dengan pantas susulan tindakan segera pasukan keselamatan.
“Satu malam yang tidak dijangka berlaku, bagaimanapun pasukan keselamatan telah menjalankan tugas dengan cemerlang,” katanya.
Jelas Trump lagi, sebaik suspek ditahan, beliau mencadangkan supaya acara di hotel Washington Hilton itu diteruskan, namun keputusan penuh tertakluk kepada pihak berkuasa yang akan membuat penilaian lanjut.
Susulan insiden itu, beliau berkata Majlis Makan Malam Persatuan Wartawan White House yang dihadiri lebih 2,000 tetamu itu mungkin perlu diadakan sekali lagi dari awal pada hari lain.
Insiden berlaku apabila beberapa letupan kuat kedengaran ketika majlis berlangsung, hingga mencetuskan panik dalam kalangan hadirin.
Pegawai Perkhidmatan Rahsia yang lengkap bersenjata segera bergegas untuk membawa Trump dan isterinya, Melania, keluar dari dewan makan.
Beberapa pegawai kanan lain antaranya Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS, Robert F. Kennedy Jr. dan Ketua Pentagon, Pete Hegseth turut dilapor menghadiri majlis berkenaan dan disahkan selamat.
Seorang jurugambar bebas mendakwa mendengar antara empat hingga enam bunyi letupan kuat di hotel, namun bukan di kawasan berhampiran dewan makan.
Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan dan pengawasan di sekitar hotel berkenaan susulan insiden tersebut. – REUTERS