Tujuh maut, 20 cedera akibat letupan bom

Beberapa kenderaan yang rosak teruk akibat letupan bom/Foto AFP

BOGOTA, 26 April – Tujuh orang maut manakala 20 orang cedera dalam satu letupan bom di kawasan bergolak di barat daya Colombia, peningkatan insiden keganasan menjelang pilihan raya presiden bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabenor Cauca, Octavio Guzmán, berkongsi video mangsa dan kenderaan musnah melalui hantaran di X.
  • Catatan media sosial menunjukkan kerosakan besar dan kawah di jalan raya; saksi melaporkan letupan kuat melontar mereka.
  • Pihak berkuasa menyatakan beberapa serangan sejak Jumaat dipercayai dilakukan oleh kumpulan serpihan bekas FARC.
  • Keganasan meningkat menjelang pilihan raya presiden; isu keselamatan menjadi antara perkara utama.

“Sejenis alat letupan telah diletupkan di sebatang jalan menyebabkan tujuh orang awam maut dan lebih 20 cedera parah,” menurut Gabenor Cauca, Octavio Guzmán menerusi hantaran di X sambil berkongsi video mangsa serta kenderaan yang musnah akibat letupan itu.

Catatan di media sosial lain menunjukkan kerosakan besar dan kawah di jalan raya dengan saksi mendakwa letupan itu begitu kuat sehingga mereka terpelanting beberapa meter ke belakang.

Sejak Jumaat, beberapa serangan dilaporkan di Colombia yang menurut pihak berkuasa dilakukan oleh kumpulan serpihan daripada kumpulan gerila FARC yang telah dibubarkan.

Baki anggota FARC yang menolak perjanjian damai pada 2016 dengan pemerintah pada masa itu dan cuba mengganggu rundingan damai yang terhenti dengan presiden semasa, Gustavo Petro yang berhaluan kiri.

Satu serangan bom ke atas sebuah pangkalan tentera di Cali pada Jumaat turut menyebabkan dua orang cedera.

Keganasan ini meningkatkan ketegangan menjelang pilihan raya presiden pada 31 Mei dan isu keselamatan menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan. – AFP