Tentera Zionis terus serang selatan Lubnan atas arahan Netanyahu

Foto REUTERS 

BEIRUT, 26 April – Media tempatan Lubnan melaporkan beberapa siri serangan baharu Israel di selatan negara itu pada malam Sabtu selepas serangan awal pada hari yang sama mengorbankan enam orang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Netanyahu mengarahkan tentera Zionis menyerang kedudukan pejuang Hizbullah.
  • Kementerian Kesihatan Lubnan: serangan ke atas trak dan motosikal di Yohmor al-Shaqeef menyebabkan empat orang maut.
  • Serangan di Safad al-Battikh, Bint Jbeil mengakibatkan dua kematian dan 17 kecederaan.
  • Hizbullah serang kenderaan tentera Zionis; NNA laporkan beberapa serangan di Bint Jbeil, Tyre, Nabatieh dan penduduk melarikan diri.

Serangan itu berlaku selepas arahan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu kepada tentera Zionis agar menyerang kedudukan pejuang Hizbullah.

Kementerian Kesihatan Lubnan sebelum itu memaklumkan bahawa serangan Israel ke atas sebuah trak dan sebuah motosikal di bandar Yohmor al-Shaqeef daerah Nabatieh menyebabkan empat orang maut.

Manakala Satu lagi serangan di bandar Safad al-Battikh, daerah Bint Jbeil pula mengakibatkan dua kematian dan 17 kecederaan.

Pihak Hizbullah memaklumkan mereka menyasarkan sebuah kenderaan tentera Zionis di selatan Lubnan sebagai tindak balas terhadap serangan di Yohmor al-Shaqeef.

Susulan arahan Netanyahu untuk menyerang kumpulan itu, Agensi Berita Kebangsaan Lebanon (NNA) melaporkan dua serangan berturut-turut di sebuah bandar dalam daerah Bint Jbeil, satu lagi di daerah Tyre, serta serangan di dua bandar lain dalam daerah Nabatieh.

Media antarabangsa melaporkan bahawa beberapa penduduk melarikan diri dari pinggir selatan Beirut kubu kuat pejuang Hizbullah yang telah berulang kali dibom sepanjang perang selepas kenyataan Netanyahu berkenaan.