SARA Bulanan bantu penerima hadapi Tahun Baharu Cina, Ramadan

FOTO BERNAMA

JOHOR BAHRU, 9 Januari – Pengkreditan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan kepada lima juta penerima bermula hari ini disifatkan bertepatan dengan sambutan Tahun Baharu Cina serta Ramadan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SARA Bulanan dikreditkan kepada lima juta penerima bagi membantu persiapan sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
  • Bantuan meringankan beban kos sara hidup dan memudahkan pembelian barangan keperluan asas keluarga.
  • Penerima berharap program SARA diteruskan dan ditingkatkan untuk sokongan kewangan berterusan.

Bantuan berkenaan dapat meringankan beban masyarakat dalam mendapatkan barangan keperluan dan makanan asas bagi membuat persiapan menghadapi sambutan tersebut.

Rata-rata penerima berharap bantuan SARA dapat diteruskan serta ditingkatkan bagi membantu mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

“Ia (SARA) juga membantu dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup, di samping sedikit sebanyak meringankan beban pembelian barangan serta membantu kami sekeluarga menguruskan kewangan. Terima kasih kepada pihak kerajaan atas bantuan SARA ini,” kata penerima yang bekerja sendiri, Mohd Rafee Syed Zainal.

“Pada saya, bantuan ini baguslah, sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban, terutamanya untuk membeli barang dapur dengan harga yang ditetapkan. Ia juga membantu dalam perbelanjaan bulanan. Biasanya, kalau RM100 itu, saya beli barang seperti sabun, beras dan minyak, macam itu sahaja,” kata Pembantu TADIKA KEMAS, Hasmida Ishak.

“Itu baguslah, kerana bantuan ini memang membantu kami. Harap dapat diteruskan, senang untuk kami. Sekarang ini pun harga makin tinggi, jadi lebih baik guna bantuan ini. Kalau naik sikit pun tak apa, asalkan diteruskan,” kata pekerja kilang, S.Murugan.