
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Sebanyak 402 kes membabitkan penggunaan rokok elektronik atau vape yang mengandungi dadah sintetik berbahaya direkodkan setakat April tahun ini.
- Peningkatan kes menunjukkan ancaman serius yang memerlukan tindakan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
- Data rampasan PDRM mengenal pasti bahan terlarang termasuk benzodiazepine (nimetazepam), MDMA, cannabinoid (THC) dan methamphetamine.
- Pendekatan menyeluruh dilaksanakan bersama Kementerian Dalam Negeri dan PDRM untuk menangani isu ini secara lebih berkesan.
- Dapatan mengukuhkan pertimbangan pengharaman vape; kerajaan meneliti langkah tegas untuk melindungi golongan muda dan kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan jumlah kes tersebut menunjukkan ancaman yang semakin serius dan memerlukan tindakan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
Menurut beliau, data rampasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut memaklumkan senarai bahan terbabit termasuk dadah jenis benzodiazepine.
“Sehingga April 2026, jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 402 kes. Bahan yang terlibat termasuk dadah jenis benzodiazepine seperti nimetazepam, Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), serta cannabinoid termasuk tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine.
“Kesemua bahan ini merupakan dadah sintetik yang disalah guna serta diklasifikasikan sebagai dadah terkawal dan terlarang,” katanya pada sidang media selepas Program Cik Era Naik MRT di sini, hari ini.
Beliau menambah, pendekatan menyeluruh sedang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan PDRM bagi menangani isu berkenaan secara lebih berkesan.
Menurutnya, dapatan tersebut turut mengukuhkan pertimbangan kerajaan terhadap cadangan pengharaman vape yang kini sedang diteliti.
Katanya, beberapa agensi keselamatan turut mencadangkan tindakan lebih tegas susulan peningkatan kes vape yang mengandungi bahan terlarang.
“Kerajaan sedang meneliti langkah-langkah lanjut bagi membendung isu ini daripada terus menjejaskan golongan muda serta mengancam kesihatan awam,” katanya.