
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti pelaksanaan Sijil Cuti Sakit Digital (e-MC) bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan dan pemalsuan sijil perubatan.
- Kes jururawat ditahan kerana sijil cuti sakit palsu menuntut tindakan tegas terhadap salah laku etika dan profesionalisme
- Hanya doktor yang merawat atau pegawai perubatan dibenarkan mengeluarkan sijil cuti sakit; salah laku tidak akan dikompromi
- KKM lancar Program Cik Era Naik MRT, kempen berhenti merokok dan vape serta perkenal Cik Era AI sebagai rakan maya sokong berhenti
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu akan diberi perhatian serius susulan kes seorang jururawat yang ditahan berkaitan pengeluaran sijil cuti sakit (MC) palsu, baru-baru ini.
“Ini adalah isyarat jelas bahawa kita perlu bergerak ke arah digital, termasuk dalam penggunaan e-MC. Saya yakin Bahagian Kesihatan Digital akan menjalankan kajian segera bagi meneliti pelaksanaannya,” katanya.
Beliau menegaskan, hanya doktor yang merawat atau pegawai perubatan sahaja dibenarkan mengeluarkan MC, manakala sebarang salah laku melibatkan etika dan profesionalisme tidak akan dikompromi.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut mengigatkan orang ramai supaya tidak menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai medium untuk membuat diagnosis kesihatan secara kendiri.
“Jangan ambil perkara ini secara peribadi. Anda tidak boleh menjadikan AI sebagai alat ‘do-it-yourself’ (DIY) untuk membuat keputusan sendiri.
Apa jua bentuk AI yang digunakan, ia tidak sepatutnya menjadi sumber untuk membuat sebarang keputusan, sama ada bagi tujuan saringan, pengesahan mahupun urusan lain yang memerlukan penilaian sewajarnya,” katanya.
Menurut beliau, sebarang masalah kesihatan atau gejala penyakit perlu dirujuk kepada pengamal perubatan di sektor awam atau swasta bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang tepat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Cik Era Naik MRT di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu membawa kempen berhenti merokok dan vape terus kepada masyarakat menerusi pendekatan yang lebih santai serta dekat dengan kehidupan harian pengguna pengangkutan awam.
Kempen berkenaan turut memperkenalkan Cik Era AI, iaitu rakan maya berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berperanan menyediakan maklumat, panduan dan sokongan kepada individu yang ingin berhenti merokok atau menggunakan vape.
Program yang bermula di Stesen MRT Putrajaya Sentral dan berakhir di TRX itu merupakan kesinambungan kepada inisiatif Kembara Beraya Bersama Cik Era yang dilaksanakan sebelum ini.
Menurut KKM, pengangkutan awam dipilih sebagai medium penyampaian kempen kerana berupaya menjangkau lebih ramai rakyat, selain mewujudkan suasana yang lebih santai, interaktif dan mesra pengguna dalam menyampaikan mesej kesihatan awam.