
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Festival Gawai Kitai 2026 berlangsung meriah dengan menghimpunkan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak, sekali gus menjadi platform memperkenalkan keunikan negeri itu kepada masyarakat di semenanjung.
- Mengukuhkan perpaduan masyarakat dan merancakkan sektor pelancongan budaya negara, menurut Ketua Setiausaha MOTAC.
- MOTAC menyokong program kebudayaan sebagai produk pelancongan untuk dipromosikan kepada pelancong dalam dan luar negara.
- Program tahun kedua menampilkan tarian tradisional, pameran kraf, demonstrasi budaya, jualan makanan tradisi dan persembahan artis Sarawak.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, penganjuran festival berkenaan turut memperkukuh perpaduan serta merancakkan sektor pelancongan budaya negara.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya amat mengalu-alukan program-program kebudayaan seperti ini kerana program ini juga merupakan satu produk pelancongan yang boleh kita ketengahkan untuk diperkenalkan kepada pelancong luar dan dalam negara.
“Walaupun diadakan di Kuala Lumpur, tidak seperti di rumah panjang, sebahagian besar program ini hampir menyamai program-program yang dilaksanakan di rumah panjang,” katanya.
Beliau yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan festival yang bermula hari ini di ibu negara.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, program itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan tarian tradisional, pameran kraf tangan, demonstrasi kebudayaan, jualan makanan tradisional serta persembahan artis terkenal dari Sarawak.
Dengan tema “Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Ngua Menua”, program itu bakal melabuhkan tirainya pada esok.