
KUALA LUMPUR, 9 Januari – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah masjid bagi penduduk di kawasan Batu Muda, di sini.
- Sultan Ibrahim perkenan menaja pembinaan masjid baharu untuk penduduk Batu Muda dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Baginda.
- Tapak masjid seluas 0.8 hektar di sekitar PPR Batu Muda telah dipilih untuk projek tersebut.
- Reka bentuk masjid akan diambil berasaskan Masjid Kampung Mahmoodiah di Johor Bahru.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah tapak masjid seluas 0.8 hektar yang telah diperkenankan itu terletak di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.
“Sudah lama saya simpan hajat untuk memberi sebuah masjid untuk penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan setelah berbincang dengan Datuk Bandar, hari ini pada Jumaat yang mulia, hajat ini dapat dizahirkan.
“Seluruh kos berkaitan pembinaan masjid ini akan ditanggung oleh saya sendiri. Reka bentuknya juga saya tentukan untuk diambil berasaskan Masjid Kampung Mahmoodiah di Johor Bahru. Semoga ia bermanfaat untuk semua, dunia dan akhirat, Insya-Allah,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud, yang diperkenankan menghadap di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Rosli Nordin. – BERNAMA