
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyemak semula kerangka Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi meningkatkan kecekapan sistem kelulusan pembangunan serta menyokong agenda perbandaran mampan.
- Pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk menilai kerangka sedia ada secara holistik.
- Matlamat termasuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kecekapan melalui integrasi digital, menutup jurang dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
- Kerangka kawal selia akan diperkukuh menjadi lebih cekap, telus dan mesra perniagaan sambil memelihara kepentingan awam.
- Persatuan Akitek Malaysia akan terlibat dalam semakan, dan KPKT mengumumkan sumbangan RM30,000 untuk KLAF 2026.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi menilai secara holistik kerangka CCC yang diperkenalkan pada tahun 2007 sebagai sebahagian daripada reformasi sistem kawalan bangunan negara.
“Objektif kita jelas, iaitu mengurangkan birokrasi yang tidak perlu, meningkatkan kecekapan melalui integrasi digital, menutup kelompongan sedia ada serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
“Kami sedang mewujudkan satu kerangka kawal selia yang lebih cekap, telus dan mesra perniagaan, sambil memastikan kepentingan awam sentiasa dipelihara pada setiap masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tahunan dan Penyampaian Anugerah Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) di sini.
Tambah beliau, reformasi tersebut bertujuan mewujudkan kerangka peraturan yang lebih telus, cekap dan mesra perniagaan, sekali gus menyokong pembangunan berkualiti tinggi serta pembinaan bandar yang lebih mampan.
Beliau turut memaklumkan bahawa PAM akan dilibatkan dalam proses semakan berkenaan bagi memastikan kepakaran serta pandangan profesional industri dapat dimanfaatkan dalam cadangan reformasi yang bakal dilaksanakan.
Dalam majlis sama, Nga menerima Anugerah Presiden PAM sebagai penghargaan terhadap usaha beliau memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan profesion seni bina dalam memajukan persekitaran binaan negara.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 buat PAM daripada KPKT bagi penganjuran Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026.