
BANGI 20 Jun – Pasukan e-sukan tempatan, Todak, menjangkakan pulangan pelaburan (ROI) daripada usaha penjenamaan semula dan pengembangan ekosistem perniagaannya dapat dicapai dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
- Penjenamaan semula Todak di Malaysia dan Indonesia menerima maklum balas sangat positif daripada komuniti peminat e-sukan.
- Todak kekal bersama komuniti dan industri walaupun tidak lagi bertanding secara kompetitif.
- Todak menjenamakan semula kepada ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar identiti pasukan e-sukan.
- Melancarkan empat model kerusi gaming dan tiga kerusi pejabat hasil kerjasama dengan Physiogo, diuji dan diiktiraf oleh pakar fisioterapi.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Culture, Nurul Hakimi Haque Fazlul Haque berkata, perkembangan penjenamaan semula Todak di Malaysia dan Indonesia menerima maklum balas yang sangat positif daripada komuniti peminat e-sukan.
Menurutnya, mereka memahami Todak masih kekal bersama komuniti dan industri walaupun tidak lagi bertanding secara kompetitif.
“Kita menjangkakan tiga ke lima tahun untuk dapat ROI sebab kita percaya dengan pembangunan AI dan pembangunan sukan itu sendiri, jadi perkara itu munasabah untuk dicapai.
“Atas sebab itu, kami bukan sekadar mengekalkan identiti sebagai pasukan e-sukan, tetapi telah menjenamakan semula pasukan kepada sebuah ekosistem yang lebih menyeluruh,” katanya.
Nurul Hakimi Haque berkata demikian kepada media selepas pelancaran empat kerusi keluaran syarikatnya.
Diminta mengulas pelancaran empat model kerusi ergonomik gaming dan tiga kerusi ergonomik pejabat, beliau berkata, setiap model telah melalui penilaian ergonomik profesional dan menerima pengiktirafan (endorsement) daripada pakar fisioterapi.
Jelasnya, keempat-empat produk itu telah diuji, dinilai dan diberikan maklum balas oleh fisioterapi.
Hasil daripada kerjasama dengan Physiogo, lahirlah empat model baharu yang kini ditawarkan kepada pengguna.