
KOTA BHARU, 20 Jun – Dua remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk bersiar-siar di bandar Kota Bharu pada petang Khamis. Kedua- dua remaja itu dikenali sebagai Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16 dan Nor Syahzanani Mohd Sulaiman, 15.
- Kedua remaja memberitahu keluarga mahu bergambar bersama dan menempah e-hailing ke pusat beli-belah Kota Bharu.
- Kali terakhir dihubungi sekitar pukul 9.00 malam; panggilan dan mesej tidak berjawab.
- Bapa membuat laporan polis di IPD Kota Bharu dan polis mengklasifikasikan kes sebagai orang hilang, usaha mengesan giat dijalankan.
Menurut ibu Nur Kaseh Nalisya, Hasnah Zakaria, 46, dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang itu, anaknya hanya memaklumkan kepada keluarga bahawa dia mahu keluar bergambar bersama sepupunya, Nor Syahzanani di kawasan sekitar Kampung Baloh, Kok Lanas.
Ketika itu dia sedang bersiap untuk membawa adik kepada Nur Kaseh Nalisya mendapatkan rawatan ke klinik di Pasir Mas.
“Hari tu dia kata nak keluar bergambar dengan sepupu dia. Kemudian sekitar pukul 9.00 malam, kami cuba menghubunginya, tetapi panggilan tidak berjawab, mesej melalui WhatsApp juga tidak dibalas,” katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, ibu saudara kepada Nor Syahzanani, Fatihah Zakaria, 43, berkata remaja itu keluar rumah selepas memaklumkan kepada keluarga bahawa dia mahu menyertai sesi fotografi bersama Nur Kaseh Nalisya.
Katanya, sebelum itu Nor Syahzanani sempat menempah perkhidmatan e-hailing untuk ke pusat beli-belah di Kota Bharu bersama sepupunya itu.
“Kali terakhir kami berhubung sekitar pukul 9.00 malam apabila dia maklumkan sedang dalam perjalanan pulang. Selepas itu, terus tidak dapat dihubungi,” katanya.
Sementara itu, bapa Nor Syahzanani, Mohd Sulaiman Zakaria, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kira-kira pukul 10.00 pagi semalam selepas kedua-dua remaja itu gagal pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan kedua-dua remaja berkenaan.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan usaha mengesan kedua-dua mangsa sedang giat dijalankan.