
KAMPAR, 20 Jun– Seramai 69 penduduk terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Bandaran Gopeng susulan kejadian kepala air yang melanda Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila semalam.
- PPS Dewan Bandaran Gopeng dibuka pada pukul 2 petang untuk menempatkan penduduk daripada 20 keluarga.
- APM memaklumkan proses pemindahan ke PPS masih diteruskan.
- Kejadian kepala air kira-kira pukul 5.29 petang meruntuhkan jambatan utama, menjejaskan perhubungan dan menghalang keluar masuk kampung.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, PPS berkenaan dibuka pada pukul 2 petang tadi bagi menempatkan penduduk daripada 20 keluarga itu.
Menurut kenyataan APM, proses pemindahan ke PPS masih diteruskan.
“Kejadian kepala air kira-kira pukul 5.29 petang semalam menyebabkan jambatan utama yang menjadi laluan keluar masuk kampung runtuh.
Keadaan itu menjejaskan perhubungan penduduk dan menghalang pergerakan keluar masuk ke kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, seramai 20 penduduk termasuk kanak-kanak, bayi, warga emas dan seorang wanita mengandung dilaporkan terkandas di kediaman masing-masing, namun semuanya berada dalam keadaan selamat.
Selain itu, 30 lagi penduduk yang keluar bekerja tidak dapat pulang ke rumah selepas laluan utama ke kampung tersebut terputus akibat kejadian berkenaan.