
KUALA LUMPUR, 20 Januari -Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen kali ini sebagai langkah memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara.
- RUU Perubahan Iklim Negara akan dibentangkan untuk memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara.
- RUU dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan menyokong komitmen pengurangan karbon serta pelaksanaan perdagangan karbon.
- Proses libat urus inklusif melibatkan kerajaan negeri, industri dan awam untuk memahami dan melaksanakan pasaran karbon.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, RUU berkenaan juga merupakan inisiatif penting dalam menyokong komitmen pengurangan karbon Malaysia.
Menurut beliau, RUU itu kini berada di peringkat akhir kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan yang sedang dimuktamadkan.
Jelasnya, dasar tersebut dirangka bagi membangunkan kerangka perdagangan karbon yang inklusif, seiring dengan penggubalan RUU Perubahan Iklim Negara.
“Dengan adanya dasar dan RUU ini, ia akan memberikan mandat perundangan kepada kerajaan untuk mengawal selia pelepasan gas rumah hijau serta pelaksanaan perdagangan karbon di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Syed Ibrahim berkata, RUU dan dasar berkenaan turut memperkukuh instrumen pasaran serta tadbir urus perubahan iklim selari komitmen pengurangan karbon Malaysia, termasuk bawah Artikel 6 Perjanjian Paris.
Tambahnya, pelaksanaan dasar itu juga menyumbang kepada sasaran Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab perdagangan karbon di peringkat serantau.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad, beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi besar sebagai pusat perdagangan karbon rantau ini.
Jelasnya, kementerian telah mengadakan sekurang-kurangnya 13 sesi libat urus bersama kerajaan negeri.
Malah, turut membuka ruang maklum balas awam menerusi kertas konsultasi RUU yang dimuat naik di laman sesawang kementerian dari Oktober hingga Disember tahun lalu.
Selain itu, sesi libat urus bersama penggiat industri dan pertubuhan bukan kerajaan akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan pasaran karbon dan RUU berkenaan dapat difahami dengan jelas oleh semua pihak.
“Pasaran karbon adalah perkara baharu. Kita perlu memastikan industri dan rakyat memahami manfaatnya kepada negara serta ekonomi hijau yang mampan,” katanya.