fb fb fb fb fb

RMK13 : Belia harap rumah mampu milik lebih strategik, mudah dimiliki

Foto hiasan

SHAH ALAM, 29 Julai - Pembinaan rumah mampu milik yang menepati kemampuan, terutama di kawasan strategik berhampiran tempat kerja, antara harapan golongan belia dalam Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan, Khamis ini.

Selain harga berpatutan, isu kelulusan pinjaman perumahan serta keutamaan kepada pembeli rumah pertama turut menjadi antara perkara yang diharapkan mendapat perhatian khusus dalam pelan pembangunan RMK13 nanti.

Muhammad Nur Waafi Badruldin berpendapat penelitian tersebut dilihat golongan muda untuk memperoleh kediaman sendiri.

"Kerajaan perlu meneliti semula isu pemilikan rumah, bukan sahaja dari aspek harga yang bersesuaian tetapi juga dari segi lokasi dan akses kepada kemudahan asas serta kemudahan awam.

"Selain itu, saya berpandangan bahawa tumpuan pemilikan rumah tidak seharusnya hanya diberikan kepada kawasan bandar. Anak muda di kawasan luar bandar dan pekan kecil juga perlu diberikan perhatian. Ini termasuk golongan yang baru bergraduasi dan pekerja ekonomi gig yang turut mempunyai hak sama rata dalam memiliki rumah," katanya.

Sementara itu Muhammad Aqeef Dhani Muhammad Raziq berkata, skim perumahan khas kepada belia dilihat akan memudahkan golongan itu untuk mendapatkan kediaman.

"Harapan saya adalah supaya diwujudkan satu skim perumahan khas untuk belia, di mana kerajaan boleh memberikan subsidi deposit atau menyediakan rumah pertama yang lebih mudah dimiliki oleh golongan belia. Itu perkara pertama.

"Kedua, saya juga berharap dalam sesi pandangan bersama anak muda, isu rumah tidak terjual dapat diselesaikan dengan mengadakan libat urus bersama sektoratau badan-badan yang berkaitan, khususnya pemaju, supaya rumah yang dibina dapat dimanfaatkan. Kita lihat hari ini banyak rumah tidak berpenghuni kerana rakyat tidak mampu membelinya – rumah itu tidak benar-benar mampu milik," katanya.

Bagi Nurul Ufaira Tarmizi pula, tawaran harga kediaman yang mampu dimiliki golongan belia akan memberi ruang kepada golongan itu untuk mendapatkan kediaman sendiri.

"Saya mengharapkan agar ada harga rumah yang lebih bersesuaian untuk golongan belia memiliki kediaman sendiri. Ramai dalam kalangan kami menyasarkan rumah sebagai aset dan harta masa depan, namun berdepan kesukaran kerana gaji yang ada sekarang tidak mencukupi.

"Bila mahu memohon pinjaman, sebahagian besar tidak layak kerana tangga gaji yang rendah.
Jadi dalam RMK-13 ini, saya berharap sektor perumahan dapat menawarkan rumah mampu milik yang sesuai untuk belia – dari segi harga dan juga lokasi yang strategik," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI