Rakyat diseru amalkan penjimatan air sempena Hari Air Sedunia – Fadillah

Gambar janaan AI

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Rakyat diseru mengamalkan penjimatan air sebagai budaya harian bagi memastikan kelestarian sumber berkenaan terus terjamin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

RINGKASAN BERITA AI
  • Air nadi kehidupan; ia penting untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
  • Isu NRW tinggi disebabkan kebocoran, kecurian dan infrastruktur usang mengancam bekalan air negara.
  • Kerajaan melaksanakan AIR 2040, pelaburan teknologi dan naik taraf sistem bagi memastikan bekalan bersih dan mampan.

Beliau berkata, usaha kerajaan tidak akan berhasil tanpa sokongan masyarakat termasuk menggunakan air secara berhemah, membaiki kebocoran dan mengelakkan pembaziran.

“Setiap tindakan kecil kita memberi impak besar kepada masa depan bekalan air negara. Kepada generasi muda, anda adalah pewaris khazanah air negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Air Sedunia 2026, hari ini.

Fadillah berkata Hari Air Sedunia membawa peringatan bahawa air bukan sekadar sumber, sebaliknya nadi kehidupan, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Menurut beliau, Malaysia sememangnya dikurniakan sumber air yang banyak, namun cabaran pengurusan dan kelestarian semakin kompleks susulan perubahan iklim serta pembangunan pesat.

Beliau berkata tema Hari Air Sedunia peringkat antarabangsa tahun ini iaitu “Air dan Kesaksamaan Gender” menekankan keadilan dan peranan semua pihak tanpa mengira jantina dalam menjaga sumber air.

Sementara itu, tema peringkat nasional “Air Milik Semua” pula menegaskan hak setiap individu untuk mendapat bekalan air bersih, selamat dan mencukupi.

Fadillah berkata negara juga berdepan isu kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi di beberapa negeri akibat kebocoran paip, kecurian air serta infrastruktur usang.

“Usaha berterusan sedang digiatkan untuk menaik taraf sistem, memperkukuh pemantauan dan mengurangkan kadar NRW demi memastikan setiap titisan air sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ancaman pencemaran sumber air akibat aktiviti tidak bertanggungjawab, pembuangan sisa dan perubahan guna tanah perlu ditangani secara bersama oleh kerajaan, industri dan masyarakat.

Menurutnya, kerajaan komited memperkukuh sektor air melalui pendekatan mampan termasuk pelaburan dalam teknologi pintar, pengurusan holistik serta kerjasama antara agensi.

Beliau berkata Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) merupakan pelan jangka panjang negara bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi serta menjadikan sektor air lebih moden dan mampan.

“Melindungi sumber air adalah tanggungjawab bersama. Air untuk semua, tanggungjawab kita bersama,” katanya.